BMW-X5-xdrive40e-MY-2

Malam ini BMW Group Malaysia telah memperkenalkan BMW X5 xDrive40e baharu, kenderaan plug-in hybrid premium terkini yang dipasang di dalam negara iaitu di kilang pemasangannya di Kulim, Kedah. BMW X5 xDrive40e baharu ditampilkan dengan sentuhan rekaan luaran yang eksklusif dan tersendiri yang menyerlahkan model ini. Pada masa sama, ia menunjukkan kemampuan hibridnya yang unik.

Memandangkan BMW X5 xDrive40e baharu ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD), ia turut menerima insentif dari kerajaan dan ditawarkan pada harga RM388,800. Ia merupakan harga atas jalan tanpa insurans. Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa perbatuan terhad bersama Program Servis Berkala Percuma dan Program Waranti Tayar BMW. Manakala waranti bagi bateri plug-in hybrid ialah enam tahun.

Karekter dinamik Sports Activity Vehicle (SAV) ini dipertingkatkan menerusi Pakej M Sport Aerodynamic yang hadir sebagai satu ciri standard. Selain lampu utama jenis Adaptive LED, BMW X5 xDrive40e turut dipasang dengan lampu kabus LED.

Badan kenderaan ini diserlahkan dengan BMW Individual Exterior Line Aluminium. Jentera ini menggunakan rim aloi ringan dua-jejari M bersaiz 19-inci dengan tayar-tayar campuran. Malah ia juga menampilkan bumbung panoramik.

2016 BMW X5 xDrive40e ext 1

Ia juga menampilkan sambungan pengecasan untuk bateri bervoltan tinggi pada bahagian depan kiri kenderaan. Bagi menunjukkan aliran tenaga, lampu berwarna biru akan menyala sebaik sahaja proses mengecas dimulakan.

Selain daripada logo model pada bahagian hadapan kenderaan, logo “eDrive” yang biasa dilihat pada model-model BMW i kini dilekatkan berhampiran lampu belakang dan konsol tengah bersama latar berwarna biru. Sistem ekzos pada BMW X5 xDrive40e ini pula mempunyai rekaan paip berkembar dengan hujungnya berbentuk trapezoidal.

Bagi bahagian kabinnya, ia didatangkan dengan kluster instrumen panel berwarna hitam yang mempunyai fungsi hibrid yang spesifik dan pelbagai bacaan lain. Paparan kenderaan sedia untuk dipandu daripada “OFF” kepada “READY” diposisikan pada bahagian bawah suis kaunter rev enjin, sebaik sahaja butang start/stop ditekan.

Kondisi caj bateri bervoltan tinggi ditunjukkan dalam bentuk simbol bateri di bawah paparan gear. Suis tetapan Driving Experience Control juga dijelaskan, sebaik sahaja mod pemanduan dipilih selepas butang eDrive ditekan.

Selain itu, ia turut menampilkan tempat duduk sport, roda stereng M Leather, pedal penukar gear, tirai matahari untuk tingkap sisi, empat-zon kawalan penghawa dingin, sistem bunyi Harman Kardon, cermin pandang belakang anti-silau, dan sistem hiburan untuk tempat duduk penumpang belakang.

Ciri BMW ConnectedDrive yang inovatif membantu merangka perjalanan dengan SAV ini bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sebanyak mungkin dan berada pada kecekapan maksimum sepanjang masa. Navigation System Professional dengan monitor paparan bersaiz 10.25-inci dipasang pada BMW X5 xDrive40e sebagai satu ciri standard. Ia memberi pilihan kepada pemancu untuk mendapatkan laluan ECO PRO ke destinasi yang dituju.

Bagi aspek keselamatan, ia turut dilengkapi dengan Lane Departure Warning, City & Pedestrian Collision Warning dan Park Distance Control (PDC) pada bahagian hadapan dan belakang yang memberi maklum balas dalam bentuk visual dan akustik, selain Surround View serta kamera belakang. Bagi BMW ConnectedDrive Services pula, ia hadir bersama perkhidmatan Intelligent Emergency Call, BMW TeleServices, Concierge Services dan eDrive Services.

Klik untuk besarkan imej

BMW X5 xDrive40e baharu ini dijana oleh enjin pembakaran dalaman 2.0 liter yang telah memenangi anugerah “Enjin Terbaik Antarabangsa” sebanyak tiga kali. Ia menampilkan teknologi pengecas turbo TwinScroll, High Precision Injection, injap pemasaan boleh ubah VALVETRONIC dan kawalan aci sesondol boleh ubah pada bahagian pengambilan serta ekzos.

Selain itu, keistimewaan SAV ini turut terletak pada gabungan kawalan rangkaian kuasa hibrid pintar dan pacuan semua-roda menawarkan prestasi serta penjimatan luar biasa di atas jalan raya. Ia memiliki sistem pacuan yang terdiri daripada enjin petrol 2.0 liter empat-silinder dengan teknologi BMW TwinPower Turbo dan sebuah motor elektrik bersepadu yang diintegrasikan bersama transmisi Steptronic lapan-kelajuan.

Sebagai enjin petrol empat-silinder paling berkuasa dalam portfolio enjin BMW Group, SAV ini dikuasakan dengan prestasi menguja bersama karakter enjin yang telah diperhalusi. Enjin ini berupaya menjana kuasa maksimum 245 hp dan tork puncak 350 Nm.

Sementara motor elektriknya pula menawarkan kuasa mencecah 83 kW dengan tork maksimum 250 Nm yang boleh diperoleh secara serta-merta. Ia berperanan meningkatkan output enjin untuk maklum balas lebih pantas apabila memecut dari titik pegun. Di samping menawarkan prestasi terbaik ketika kelajuan diperlukan pada bila-bila masa.

2016 BMW X5 xDrive40e ext 19

Gabungan rangkaian kuasa ini membolehkan BMW X5 xDrive40e baharu mencatat pecutan 0-100 km/j dalam masa cuma 6.8 saat. Kelajuannya dihadkan secara elektronik kepada 210 km/j dan tork puncak 450 Nm. Ketika berada dalam mod elektrik sepenuhnya, SAV baharu itu mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 120 km/j. Pecutan dinamik luar biasa BMW X5 xDrive40e turut menawarkan penjimatan bahan api sekitar 3.3 liter bagi setiap 100 kilometer dan emisi C02 hanya 77 gram bagi setiap kilometer.

Rekaan plug-in hybrid pada BMW X5 xDrive40e menyediakan asas yang ideal untuk penggunaan ekstensif sistem pacuan elektrik bagi mobiliti yang paling efisien. Biarpun dalam pemanduan tanpa emisi di bandar.

Bateri bervoltan tinggi menawarkan kapasiti tenaga sehingga 9.2 kWh. Kuasanya boleh ditambah menggunakan soket kuasa biasa di rumah. Apabila dicaj menggunakan soket kuasa konvensional, bateri ini boleh dicaj penuh daripada kosong dalam masa 3 jam 50 minit.

Talaan kenderaan serta kawalan rangkaian kuasa boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu menerusi suis Experience Control dan eDrive. Butang eDrive yang terletak di konsol tengah membolehkan pemandu untuk menukar di antara tetapan AUTO eDrive, MAX eDrive atau SAVE Battery.

Dalam tetapan AUTO eDrive, enjin dan motor elektrik bekerjasama dalam kecekapan paling tinggi. Motor elektrik digunakan untuk keperluan kuasa yang normal. Manakala kuasa enjin akan masuk pada kelajuan sekitar 70km/j atau apabila pemandu mahu mula memecut. Dalam mod ini, strategi operasi pintar akan menentukan kombinasi pemanduan yang paling efisien pada setiap masa dan akan menukarnya secara automatik.

2016 BMW X5 xDrive40e ext 2

Apabila bertukar kepada mod MAX eDrive, pemandu akan bergerak dalam mod elektrik sepenuhnya. Maknanya, kenderaan dikuasakan oleh motor elektrik sahaja. Mod ini direka untuk pemanduan selesa dengan emisi sifar dan enjin tidak diaktifkan. Ia menawarkan jarak maksimum 30 km dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 120km/j.

Mod ketiga, SAVE Battery membolehkan pemandu menjimatkan atau meningkatkan simpanan tenaga bateri bervoltan tinggi untuk kegunaan berikutnya. Misalnya, ketika memandu di atas jalan, caj akan dibiarkan konsisten atau ditingkatkan untuk membolehkan tenaga bateri digunakan apabila memandu di kawasan bandar nanti. Dengan cara ini, tenaga yang disimpan boleh digunakan apabila perlu sahaja.

Sebagai tambahan, BMW X5 xDrive40e juga didatangkan dengan suis Driving Experience Control sebagai satu ciri standard yang berfungsi mengaktifkan mode talaan kenderaan seperti COMFORT, SPORT dan ECO PRO.

Setiap mod ini mengubah suai pemetaan pendikit, karekteristik stereng, maklum balas transmisi Steptronic lapan-kelajuan dan suspensi Adaptive M dengan talaan suspensi sport, Dynamic Damper Control yang ditala khas dan suspensi udara yang dipasang sebagai standard pada SAV ini.

The all-new BMW X5 xDrive40e (4)

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Sejak mencipta segmen SAV premium, BMW X5 telah menetapkan penanda aras dalam segmennya di seluruh dunia. Di samping teknologi canggih masa depan daripada BMW i kepada peminat automotif di negara ini.”

Di bawah pakej BMW 360° ELECTRIC, pelanggan yang membeli jentera ini akan ditawarkan dengan perkhidmatan ChargeNow yang merangkumi sekeping kad ChargeNow. Kad itu menawarkan akses terus kepada stesen-stesen pengecasan, ChargEV yang disediakan hasil kerjasama di antara BMW Group Malaysia dengan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia). Stesen-stesen ChargEV kini sudah beroperasi di 19 lokasi strategik di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Melaka dan Johor.

BMW X5 xDrive40e didatangkan dalam warna Glacier Silver, Mineral White, Space Grey dan Carbon Black bersama pilihan upholsteri kulit Dakota Terra atau Dakota Black.