it-can-wait

Pemandu dan penunggang motosikal diingatkan supaya tidak menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu/menunggang kerana ia adalah melanggar undang-undang jalan raya, dan polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan seandainya kesalahan tersebut dikesan. Mesej tersebut adalah dari Pengarah Jabatan Siasatan Trafik Persekutuan dan Penguatkuasaan SAC Datuk Mahamad Akhir Darus, laporan The Sun.

“Pengguna jalan raya yang dikesan memegang telefon bimbit sewaktu memandu/menunggang akan dikenakan saman. Tidak seperti kes jenayah lain yang memerlukan bukti untuk disabit kesalahan, ini adalah saman kompaun dan terpulang kepada pesalah untuk membuktikan sama ada diri mereka bersalah atau tidak,” ujar Mahamad.

Beliau turut berkata, menggunakan telefon bimbit ketika memandu/menunggang boleh menyebabkan fokus terganggu, dan dalam sekelip mata juga boleh mengakibatkan insiden yang tidak diingini. Ini termasuklah memegang telefon bimbit sementara menunggu lampu isyarat atau pun ketika tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

“Tiada sebab pengguna jalan raya memegang telefon bimbit sedangkan dalam masa yang sama mereka harus memegang stereng dan fokus pada pemanduan. Apabila kereta sedang bergerak, pemandu seharusnya memandang ke cermin hadapan dan bukannya melihat skrin telefon bimbit,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia adalah disebabkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu. Liow berkata pihaknya akan meminta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk menjalankan kajian bagi membuktikan ia satu perkara serius yang perlu diberi perhatian oleh pengguna jalan raya di negara ini