Naza_Stream_1-2

Selain mengeluarkan kenyataan berkaitan kesediaan stok beg udara Takata gantian semalam, Honda Malaysia turut mengumumkan untuk turut memanjangkan panggilan semula ke atas kenderaan Honda yang dibawa masuk oleh pengimport luar, atau model-model reconditioned yang terlibat. Ini bermaksud, semua model Honda yang bukan dibeli dari pengedar sah Honda Malaysia turut layak untuk gantian beg udara ini.

Syarikat itu menasihatkan agar semua pemilik kenderaan yang terlibat untuk menghubungi pengedar sah Honda terdekat di seluruh negara dengan segera. Ini bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkara yang perlu dilakukan bagi membolehkan kenderaan mereka dibaiki oleh Honda Malaysia secepat yang mungkin. Honda Malaysia akan menanggung segala kos gantian beg udara berkenaan.

Sebelum ini, Honda Malaysia menyatakan syarikat itu kini sedang berusaha keras untuk mendapatkan stok bagi beg udara gantian itu secepat mungkin, dan menjangkakan akan mempunyai 100% stok tersedia pada pertengah Ogos nanti. Beg udara sebelah penumpang lebih sukar diperolehi. Untuk itu, kenderaan pelanggan yang sudah dipanggil semula dan melibatkan penukaran kedua-dua beg udara pemandu dan penumpang mungkin tidak dapat dilakukan serentak.

Syarikat itu juga akan mengurangkan kemasukan kenderaan bagi penyelenggaraan cegahan menerusi pengedar mereka sehingga 50% bermula 20 Julai, untuk memberi ruang kepada lebih ramai pelanggan untuk menukar beg udara terlebih dahulu. Dalam situasi di mana Honda Malaysia tidak dapat menampung jadual penyelenggaraan bagi sesetengah kenderaan, tempoh selenggaranya akan dipanjangkan, dan ini akan diselarikan dengan tempoh jaminan kenderaan yang terlibat. Pusat servis sementara dan bergerak juga akan dibuka.

Honda Malaysia menyeru pemilik kenderaan Honda yang terlibat di dalam panggilan semula ini membawa kereta mereka ini untuk dibaiki seberapa segera. Pemilik boleh memeriksa status panggilan balik semula melalui semakan VIN atas talian atau dengan menghubungi talian 1-800-88-2020 untuk maklumat lanjut, serta boleh juga mengunjungi pengedar sah Honda berdekatan.