June 2016 sales BM

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini mengeluarkan data jualan kenderaan di Malaysia bagi bulan Jun 2016. Secara keseluruhan, ia mencatatkan peningkatan 29.5% atau 13,175 unit lebih tinggi berbanding Mei.

Hal ini disebabkan aktiviti kempen-kempen yang giat dan agresif oleh syarikat pengeluar sempena Hari Raya serta pengenalan model baharu. Bagi bulan Jun, sebanyak 50,981 unit kenderaan penumpang telah terjual, manakala bagi kenderaan komersial pula, ia mencatatkan 6,377 unit. Secara keseluruhannya, sejumlah 57,358 unit kenderaan dijual pada bulan Jun 2016.

Angka ini sedikit menurun jika dibandingkan dengan data bagi Jun 2015; kenderaan penumpang mencatatkan 50,694 unit jualan manakala kenderaan komersial sejumlah 6,742 unit jualan. Jumlah jualan bagi bulan yang sama tahun lalu ialah 57,436 unit.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk tempoh sama (Year-To-Date) bagi jualan kenderaan keseluruhan, menurun sebanyak 14%. Data setakat Jun 2016 ialah 275,459 unit berbanding setakat Jun 2015 yang mencatatkan 327,664 unit yang terjual.

Berkaitan pengeluaran kenderaan pula, Jun 2016 mencatatkan jumlah keseluruhannya 40,928 unit, menurun jika dibandingkan dengan tempoh sama pengeluaran bagi tahun lalu yang mencatatkan 51,309 unit.

Bagi bulan Julai 2016, MAA menjangkakan jumlah jualan kenderaan akan menurun berbanding bulan Jun 2016. Antara sebab yang disifatkan akan memberi kesan itu adalah permintaan rancak terhadap kenderaan berakhir pada penghujung Jun 2016 serta jumlah hari bekerja yang singkat disebabkan cuti Hari Raya.