China-Nissan-Teana-1

Nissan telah menyebarkan beberapa foto model facelift bagi Teana untuk pasaran China, di mana ia bakal dilancarkan tidak lama lagi. Model semasa bagi Nissan Teana L33 telah pun dilancarkan di Malaysia pada tahun 2014.

Bagi rekaan luaran, model facelift Teana ini menampilkan bahagian hadapan dan lampu utama yang direka semula, dengan LED digunakan pada lampu utama dan juga lampu nyalaan siang LED. Malah lingkaran gelap pada lampu utama turut menyerlahkan lagi gaya dinamiknya.

Untuk kekemasan dalamannya, tiada perubahan, namun konsol tengahnya kini dilengkapi dengan unit infotainmen yang dipertingkatkan termasuk menampilkan Apple CarPlay bagi telefon, muzik dan navigasi.

Bagi penjana kuasanya, Teana pasaran China ini masih menggunakan enjin 2.0 liter dan 2.5 liter, yang mampu menghambur 150 hp, meningkat 9 hp berbanding sebelum ini, manakala unit 2.5 liter pula 186 hp. Kuasa bagi kedua-dua varian disalurkan menerusi transmisi boleh laras berterusan.