johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

Mulai 1 Ogos ini, pemilik kenderaan dari Malaysia yang mengelakkan tol atau fi di Pusat Pemeriksaan Tuas dan Woodlands akan dikenakan kompaun sebanyak S$50 (RM149.50) dan S$100 (RM299) untuk mereka yang melakukan kesalahan berulang, lapor Bernama.

Oleh itu, pemilik kenderaan Malaysia yang merancang memasuki atau meninggalkan Singapura dinasihatkan supaya mempastikan kad Autopas mereka – kad simpan nilai dikeluarkan untuk kenderaan berdaftar asing – diisi semula sepenuhnya.

“Ini naik dari fi pentadbiran S$10 yang dibayar hari ini,” kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura di laman webnya.

LTA mengambil perhatian pemilik kenderaan yang tidak membayar jumlah kompaun dan yang kemudian dicaj kerana mengelak tol dan fi boleh dijatuhkan hukuman bila sabit kesalahan, denda tidak melebihi S$1000, atau penjara bagi tempoh tidak lebih tiga bulan bagi kesalahan pertama.

Langkah ini merupakan sebahagian usaha LTA yang dipertingkatkan dalam beberapa bulan lepas di kedua-dua pusat pemeriksaan itu bagi mengesan perbuatan mengelak bayaran fi untuk Permit Masuk Kenderaan dan fi Bayaran Jalan Elektronik (ERP) dan caj tol.

LTA menganggarkan kehilangan hasil kira-kira lapan peratus dari jumlah hasil tol dan fi dalam tiga bulan dari Mac hingga Mei tahun ini.

Menurut LTA lagi, jumlah pegawai yang ditempatkan untuk tugas penguatkuasaan di kedua-kedua pusat pemeriksaan itu telah ditambah sebanyak 20 peratus hingga hampir 100 orang, dan akan ditambah seterusnya bila perlu. Selain itu, LTA turut meletakkan lebih banyak papan tanda menuju ke pusat pemeriksaan dan sekitarnya.

Dua pendekatan lain turut dikaji LTA. Pertama, kemungkinan Akta Trafik Jalan Raya akan dipinda bagi melarang kenderaan asing masuk dan keluar tanpa membayar tol, fi, cukai dan denda atau bayaran komposisi. Manakala untuk pendekatan kedua, kawalan akan dikukuhkan ke atas kutipan fi dan tol bagi kenderaan yang memasuki/meninggalkan Singapura.

LTA juga berkata satu pilihan yang sedang dikaji dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemerikasan (ICA) Singapura ialah kemungkinan memasang palang sekatan ICA yang hanya terangkat bila semua tol dan fi telah dibayar.

Butir-butir seterusnya akan diumumkan bila tiba masanya, kata lembaga itu.