2016-Mazda-3-FL-4-850x446

Awal minggu ini, Mazda mengadakan sesi pandu uji bagi wakil media Asean bertempat di Mine Proving Grounds di Jepun. Antara model yang disediakan untuk dipandu ialah Mazda 3 versi wajah baru, yang digunakan untuk mendemonstrasi sistem G-Vectoring Control.

Dilancarkan untuk pasaran Jepun awal bulan ini, Mazda 3 yang masih ditawarkan dalam bentuk sedan dan hatchback dengan beberapa perubahan minimal. Ini termasuk rekaan gril depan yang lebih menonjol serta lampu hadapan yang diberi bentuk baru (unit LED adaptif adalah pilihan). Ruang kemasukan udara di bahagian bawah bampar juga diberi rekaan baru, bersekali dengan lampu kabus.

Di bahagian tepi, cermin sisi kini dilengkapi dengan bahagian lampu isyarat LED, sementara di bahagian belakang bagi varian hatchback pula turut menerima rekaan bampar baru, termasuk rekaan diffuser. Sentuhan baru bagi rim 18 inci dengan penyudah permukaan warna gun metal melengkapi pembaharuan yang diberikan kepada Mazda 3.

Kabin dalaman juga tidak diabaikan. Ia menerima persekitaran baru bagi paparan MZD Connect, kemasan tempat duduk dengan pilihan tambahan, perincian atau elemen trim baru serta paparan Head-Up Display yang kini berwarna. Sterengnya juga lebih kurus, diwarisi dari model CX-9.

Pilihan enjin bagi pasaran di Jepun turut berubah. Walaupun enjin 1.5L SkyActiv-G petrol (111 ps/144 Nm) dan 2.2L SkyActiv-D turbodiesel masih kekal ditawarkan, tambahan terbaru ialah enjin 1.5L SkyActive-D diesel yang sebelum ini hanya untuk pasaran Eropah kini turut ditawarkan.

Enjin dieselnya telah diperkemas dengan kawalan high-precision boost dan suntikan minyak untuk memperbaiki respon pendikit. Sementara itu enjin berkenaan kini turut dipertingkat bagi mengurangkan knock dan gegarannya.

Turut ditawarkan ialah untuk pasaran Jepun ialah model SkyActiv Hybrid – yang berdasarkan teknologi hibrid Toyota – yang memadankan enjin 2.0L SkyActiv-G petrol 99 PS dengan motor elektrik 82 PS serta transmisi eCVT (Electric Continuosly Variable Transmission). Sementara itu, model standard 2.0L dengan kuasa 155 PS/196 Nm digugurkan.

Model ini turut menerapkan sistem G-Vectoring Control, yang bertindak mengalihkan imbangan berat bagi kenderaan ini dengan membezakan tork enjin. Untuk itu, ia memperbaiki maklum balas stereng dan kestabilan keseluruhan ketika dalam pemanduan.

Dari aspek keselamatan, Mazda 3 wajah baru ini merupakan model pertama yang dilengkapi teknologi baru, Traffic Sign Recognition System (TSR) yang dibangun sendiri oleh Mazda. Ia berfungsi untuk mengenal pasti had laju, tanda larangan masuk dan tanda henti.

Selain itu, Mazda 3 wajah baru ini juga dilengkapi dengan sistem Advanced Smart City Brake Support. Ia menggunakan cahaya laser infrared dan kamera untuk membolehkannya mengesan kenderaan lain atau pejalan kaki yang ada dalam kelajuan dari 10 km/j hingga 80 km/j.