MIROS cadang pemusatan agensi-agensi berkaitan pengangkutan awam, adakan kerjasama lebih cekap

Bus-10-Cars-NSE

Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya (MIROS) mencadangkan pemusatan semua agensi kerajaan yang penguruskan serta menyelia hal-hal berkaitan pengusaha pengangkutan awam bagi memantau kenderaan komersial dengan lebih berkesan, memetik laporan Bernama hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye menjelaskan ketika ini, agensi-agensi yang dimaksudkan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Miros dan Puspakom Sdn Bhd diletakkan di bawah bidang kuasa berlainan.

SPAD berada di bawah seliaan Perdana Menteri, sementara JPJ dan MIROS di bawah Kementerian Pengangkutan. Puspakom pula merupakan sebuah syarikat pemeriksaan kenderaan swasta yang dilantik oleh kerajaan untuk melaksanakan perkhidmatan seperti pemeriksaan bagi kenderaan awam dan komersial, termasuk juga kenderaan persendirian untuk pembiayaan sewa-beli, pindah milik serta insurans.

Beliau percaya, jika semua agensi-agensi ini dipusatkan, mereka mampu berkerja sama dengan lebih cekap untuk menyiasat dan menganalisa kemalangan jalan raya, juga melaksanakan dan memantau bagi tujuan meningkatkan keselamatan jalan raya.

Lee memberi maklum balas ketika memberi pandangan berkenaan peningkatan kadar kemalangan yang melibatkan kenderaan komersial. Pada 10 Julai lalu, sebuah bas ekspres merempuh 10 kenderaan lain di Lebuhraya PLUS berdekatan Terowong Menora, Ipoh. Bas berkenaan didapati mempunyai 63 saman tertunggak bagi pelbagai kesalahan sejak 2011, sementara pemandunya mempunyai sembilan saman lainnya, termasuk bagi kesalahan memandu laju.

Kemudian, pada 26 Julai lalu, 27 penumpang dan seorang pemandu terselamat apabila bas pelancong yang mereka naiki tergelincir di KM19, Jalan Keramat Pulai dekat Ipoh, ketika dalam perjalanan turun dari Cameron Highland menuju Pulau Pinang.

Pada 27 Julai pula, pemandu bas pelancong meninggal dunia, sementara 25 penumpang warga China terselamat ketika bas yang dinaiki hilang kawalan dan terbalik di KM17.2, Jalan Genting Highlands – Kuala Lumpur.

Lee menyatakan, sekiranya berlaku kemalangan melibatkan kenderaan awam, semua agensi kerajaan yang terlibat akan menjalankan siasatan mereka secara berasingan. “Semua kerja ini boleh dilakukan dengan lebih berkesan dan cekap jika semua agensi-agensi ini dipusatkan di bawah satu kementerian sahaja,” jelas beliau.

Menyentuh tentang cadangan yang disampaikan kepada kerajaan pada 2014 bagi menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Lee menyatakan setakat ini tiada apa yang dicapai walaupun cadangan berkenaan dibuat oleh panel penasihat bebas susulan daripada nahas bas di Genting Highlands pada 21 Ogos 2013, yang mengorbankan 36 nyawa dan mencederakan 16 yang lain.

“Jika boleh, saya fikir kita sepatutnya ada pegawai berpakaian biasa untuk menyamar menjadi penumpang dan memantau secara langsung pemandu dan perkhidmatan bas yang ada. Tentulah, pegawai berkenaan tidak akan dapat melakukannya dengan kerap. Tetapi, jika dilakukan secara berkala, mereka akan faham apa masalah sebenar dan cara yang bagaimana perlu diambil untuk menyelesaikannya,” tambah beliau.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required