Delphi Automotive mulakan ujian pengangkutan tanpa pemandu di Singapura – beroperasi menjelang 2022

Pengeluar komponen automotif – Delphi Automotive, telah dipilih oleh Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) sebagai rakan strategik untuk implementasi konsep mobiliti tanpa pemandu di republik berkenaan.

Dalam kenyataan rasmi syarikat tersebut mendedahkan, mereka akan menyediakan sejumlah kenderaan tanpa pemandu sepenuhnya, yang terdiri dari enam buah Audi SQ5 yang mampu bergerak tanpa pemandu dengan menggunakan kamera, lidar dan radar untuk sistem pemanduan automatiknya. Delphi juga akan membina perisian mobiliti berasaskan permintaan berasaskan cloud sebagai salah satu bahagian dalam projek pengangkutan tanpa pemandu yang akan dilancarkan pada 1 Ogos.

Menurut laporan dari The Verge dan Autoblog, Delphi akan menggunakan Audi yang bergerak sendiri tanpa pemandu pada tiga laluan yang telah ditetapkan, dengan jarak keseluruhan 8 km. Pada peringkat permulaan, pemandu akan diletakkan di dalam kereta, bersedia untuk mengambil alih tugas memandu sekira berlaku perkara kecemasan. Pada peringkat seterusnya pula, pemandu manusia akan digugurkan, dan jika projek ini berjalan lancar, roda stereng juga akan ditanggalkan sepenuhnya.

Untuk mencapai sasaran, sudah tentu ia memerlukan banyak ujian, dengan program permulaan oleh LTA Singapura ditetapkan akan bermula dari 2016 hingga 2019, dan dirancang akan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2022. Tujuan utama servis ini adalah untuk memudahkan pergerakan transit penumpang pada sebelum dan selepas mereka tiba di stesen transit utama (stesen MRT contohnya) dan antara rumah dan tempat kerja mereka.

Langkah ini juga antara salah satu langkah dalam Inisiatif Kenderaan Tanpa Pemandu Singapura (SAVI), yang dibentuk pada 2014 untuk melihat serta menguruskan penyelidikan kenderaan tanpa pemandu, tempat ujian, serta pembangunan aplikasi dan penyelesaian oleh rakan industri bersama pihak yang berkepentingan.

“Sebagai rakan kongsi dalam SAVI, Delphi akan menggunakan penemuan sama pada teknologi kenderaan yang membolehkan kami berjaya melengkapkan pemanduan sendiri dari pantai-ke-pantai di Amerika Syarikat pada 2015,” kata Jeff Owens, ketua pegawai teknologi Delphi.

delphi-amod-0468-e1470122846165_BM

“Membangunkan perisian berasaskan cloud yang mampu beroperasi dengan bersepadu bersama kenderaan menghasilkan solusi dari hujung-ke-hujung yang akan membolehkan pelanggan sedia ada kami, dan lebih banyak pelanggan yang berpotensi, sebagai kelebihan untuk masuk kepasaran mobiliti yang penting,” tambah beliau.

Syarikat berkenaan telah pun melengkapkan pemanduan sendiri dari San Francisco ke New York tahun lalu, di mana sebuah SQ5 yang telah diubahsuai melengkapkan perjalanan sejauh 5,472 km. Delphi juga berharap untuk menggunakan pengetahuan yang mereka perolehi dari pelbagai ujian yang dijalankan sebelum ini untuk kereta penumpang, bas, kenderaan komersial, pod mobiliti binaan-khas dan kenderaan elektrik pada masa akan datang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required