Honda-NSX-TMS-40_BM

Harga untuk Honda NSX generasi baharu telah disahkan di Australia iaitu AUD420,000 atau RM1.28 juta termasuk kos atas jalan, dan ditawarkan hanya dengan satu spesifikasi, menurut laporan CarAdvice.

Harga berkenaan meletakkan NSX di Australia dalam saingan bersama Lamborghini Huracan LP610-4 berharga A$428,000 (RM1.305 juta), Ferrari 488 GTB berharga A$469,988 (RM1.433 juta), BMW i8 berharga A$299,000 (RM912,339) dan Porsche 911 Turbo S berharga A$456,500 (RM1.39 juta).

Spesifikasi tunggal berkenaan dilengkapi dengan ciri standard tahap tinggi, yang turut termasuk pakej komponen gentian karbon pada bahagian luaran dan bahagian dalaman. Pakej komponen gentian-karbon pada bahagian luaran terdiri dari bumbung, penutup enjin, spoiler belakang, diffuser dan spoiler bawah hadapan gentian-karbon. Ia juga dilengkapi dengan cakera brek seramik-karbon, rim interwoven eksklusif dan kemasan ekzos krom gelap.

Honda-NSX-TMS-48_BM

Bahagian dalaman pula, pakej gentian-karbon terdiri dari visor meter, kemasan bahagian atas dan jejari roda stereng serta pedal gentian-karbon serta perehat kaki kemasan brushed aluminium. Ia turut dilengkapi dengan kemasan bumbung baldu Alcantara serta tempat duduk larasan berkuasa balutan kulit separa-aniline dan Alcantara.

Tempahan untuk NSX kini telah dibuka untuk pasaran Australia, dan penghantaran pertama kepada pelanggan dijangka pada awal tahun hadapan. Ditawarkan dalam kombinasi lapan warna luaran dan empat warna kemasan yang boleh dipilih, supercar berkuasa 573 hp/645 Nm dengan enjin V6 turbo berkembar hibrid, pacuan semua roda, hanya boleh ditempah dari lima pengedar Honda terpilih.