jpj-roadblock-2-630x380

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula melaksanakan ‘Op Laju’ bertujuan untuk mengesan pemandu kenderaan perdagangan terutamanya pemandu bas ekspres yang memandu di lorong kanan secara berterusan di sepanjang lebuh raya, lapor Bernama.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron menjelaskan operasi khas itu akan dilakukan secara berterusan dan bukan hanya ketika musim perayaan sahaja. Ini bagi memastikan pemandu bas ekspres menandu menggunakan lorong yang betul dan sepatutnya.

“Kami banyak menerima aduan berkaitan kelakuan pemandu bas ekspres yang memandu di lorong paling kanan dan bukannya di lorong kiri seperti yang sepatutnya. Ini amat merbahaya kepada penumpang dan pengguna jalan yang lain,” jelas beliau.

“Bas ekspres hanya boleh berada di lorong kanan untuk memotong sahaja, dan perlu masuk semula ke laluan kiri selepas itu,” tambah beliau.

JPJ menggariskan tiga strategi pelaksanaan Op Laju, iaitu rondaan secara intensif anggota JPJ di sepanjang lebuh raya menggunakan kenderaan JPJ, penyamaran anggota penguat kuasa di dalam bas dan penyamaran anggota menggunakan kenderaan tidak berlogo jabatan berkenaan.

Saman sebanyak RM300 akan dikeluarkan serta-merta kepada pemandu yang didapati melakukan kesalahan berkenaan. Bas ekspres yang didapati mempunyai rekod kesalahan lampau yang banyak pula akan disita mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Tindakan sama juga akan dikenakan terhadap kenderaan berat lain seperti lori dan treler.

Pada masa sama, operasi ini juga akan melihat kepada tujuh kesalahan utama yang kerap menjadi punca kemalangan jalan raya iaitu melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memandu lebih daripada had laju dibenarkan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan, memotong garisan berkembar serta mengekori rapat kenderaan hadapan.

Sebanyak 2,212 Notis 114/115 dikeluarkan kepada pemandu jalan raya, melibatkan 2,683 kenderaan yang menggunakan laluan kecemasan sepanjang Op Hari Raya pada 22 Mei hingga 29 Julai lepas. Sepanjang tempoh itu, JPJ menerima sebanyak 796 aduan bergambar pelbagai kesalahan pengguna jalan raya dan akan mengambil tindakan berdasarkan bukti tersebut.