P90208287_highRes_bmw-330e-01-2016-e1470207501717-630x324

Akhirnya BMW Malaysia sah akan membawa masuk BMW 330e Plug-In Hybrid untuk pasaran tempatan, seperti yang dapat dilihat melalui kempen baharu #ElectricDrivingPleasure. Seperti yang kami laporkan semalam, model 330e ini bakal menyertai SUV BMW X5 xDrive40e bagi barisan kenderaan PHEV yang ditawarkan di sini. Bila? Dijangka paling awal, penghujung Ogos nanti.

Bagaimana pun, harga masih belum disahkan lagi. Namun, menurut sumber, ia akan dijual antara RM240k hingga RM260k. Ini akan meletakkan 330e berada di antara 320i Sport Line (RM231,800) dan 330i M Sport (RM297,800), menggantikan model-model 320d dan 320i M Sport (yang dijual pada harga RM269k dan RM259k) yang tidak lagi dijual sejak awal tahun ini.

Dengan anggaran harg berkenaan, ada kemungkinan BMW Malaysia akan menawarkan 330e iPerformance dalam dua pakej; Sport Line dan M Sport. Bagi BMW X5 xDrive40e, yang dijual pada harga RM388,800, ditawarkan dalam pakej kemasan M Sport sahaja.

BMW 330e ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter empat silinder, motor elektrik dan kotak gear lapan-kelajuan yang sama dengan yang ada pada BMW X5 xDrive40e dan 740e. Bagaimana pun, enjin berkenaan menghasilkan 180 hp kuasa dan 290 Nm tork, dan digandingkan bersama motor elektrik 87 hp kuasa dan 250 Nm tork. Digabungkan, model ini memberikan kuasa 248 hp dan 420 Nm tork; berbeza dengan model 330i petrol yang menawarkan 252 hp dan 350 Nm.

BMW 330e iPerformance mampu mencapai bacaan 0-100km/j dalam masa 6.3 saat dan kelajuan maksimum 252 km/j. Ini hampir dengan bacaan yang dihasilkan oleh model 330i; 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan laju maksimum 250 km/j. Dari sudut penggunaan minyak pula, 330e mampu mencapai 2.1 liter per 100 km, berbanding 6.1 liter per 100 km bagi model 330i. Ia juga boleh dipacu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan jarak 22.5 km, pada kelajuan sehingga 120 km/j.

Kempen #ElectricDrivingPleasure oleh BMW Malaysia memaparkan gaya hidup warga Malaysia yang berubah ekoran perkembangan inovasi, idea dan penyelesaiannya, seperti yang dapat dilihat dalam video ini: