isuzu-d-max-v-cross-093

Isuzu Malaysia telah mengeluarkan kenyataan media mengenai rekod jualannya bagi separuh pertama 2016. Model trak pikap D-Max dilihat sangat membantu meningkatkan jualan dengan pertambahan sebanyak 10.6% atau 3,069 unit berbanding tempoh sama pada tahun 2015. Perkongsian pasarannya juga meningkat sebanyak 3.4% untuk mencatat penguasaan 14.7% dalam segmen trak pikap.

Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia, Hajime Machimura berkata permintaan tinggi terhadap D-Max kekal konsisten. Biarpun di sebalik corak pasaran dan sentimen pengguna yang kurang memberangsangkan.

“Kenderaan Isuzu dilihat dapat meyakinkan pengguna kerana ia mampu menawarkan penyelesaian yang terbaik, menerusi aspek nilai, kebolehpercayaan dan karekter pemanduan yang cemerlang. Ia sememangnya memberi kelegaan ketika pengangkutan menjadi satu beban yang terpaksa dipikul oleh pengguna,” kata Machimura.

Pada 23 Mei lalu, Isuzu Malaysia telah melancarkan D-Max Beast yang hanya dihasilkan sebanyak 360 unit. Ia masih lagi mengekalkan ciri-ciri asas D-Max varian tertinggi tetapi dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri tambahan dan aksesori ‘edisi-terhad’ bagi meletakkannya pada tahap tersendiri.