roadblock-pokemon

Semalam Kementerian Pengangkutan telah mengingatkan pengguna jalan raya agar memberikan perhatian sepenuhnya ketika memandu dan tidak terganggu dengan permainan dalam talian Pokemon Go.

Hari ini laporan Berita Harian menyiarkan kenyataan dari Polis Melaka yang akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang didapati bermain permainan siber Pokemon Go ketika memandu di negeri ini termasuk mengeluarkan saman.

Menurut Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ruslan Hassan, tindakan saman itu sejajar dengan larangan menggunakan telefon bimbit ketika memandu sebagaimana yang dikuatkuasakan sebelum ini.

“Buat masa ini, belum ada kes saman trafik di Melaka yang membabitkan pemandu yang bermain Pokemon Go. Tetapi saya sudah arahkan semua anggota untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang didapati bermain permainan itu ketika memandu kerana ia boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya pada pihak media.

Di Kuantan, Pahang, seorang pemandu menjadi penerima saman pertama kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu sambil bermain Pokemon Go pada Sabtu lalu. Difahamkan, ahli perniagaan itu sedang mengimbas karektor raksasa digital di sepanjang laluan di Jalan Stadium, Kuantan sebelum perbuatannya itu disedari anggota polis.