Perodua Bezza Launch Stage

Pada 19 Ogos lalu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan kenyataan media mengenai prestasi jualan dan produksi bagi Julai 2016.

Mengikut MAA, rekod jualan kenderaan penumpang untuk bulan Julai 2016 telah mengalami penurunan yang mendadak dengan hanya 37,647 unit, berbanding 52,636 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu. Bahkan rekod jualan tahunan dari Januari hingga Julai 2016 hanya tercatat sebanyak 282,004 unit, berbanding 339,244 unit pada tahun 2015.

Begitu juga dengan rekod jualan kenderaan komersial, di mana tercatat sejumlah 4,824 unit bagi Julai 2016, berbanding 6,041 unit pada bulan yang sama tahun lalu. Malah perbezaannya juga ketara bagi rekod tahunan iaitu antara Januari hingga Julai, di mana tahun 2016 mencatatkan sebanyak 35,926 unit, manakala tahun 2015 pula sejumlah 41,687 unit.

Di mana Perodua dilihat masih mendahului carta, biarpun mengalami sedikit penyusutan iaitu sebanyak 4,923 unit, dengan sejumlah 15,121 unit jualan pada Julai, berbanding 20,044 unit pada Jun 2016.

Begitu juga dengan Honda yang menduduki tangga kedua, turun mengalami penurunan iaitu dengan jualan sebanyak 7,827 unit pada Julai 2016, menyusut 1,427 unit (berbanding 9,254 unit pada bulan sebelumnya). Manakala Toyota di tempat ketiga mengalami nasib yang sama dengan jualan sebanyak 5,028 unit, menurun sebanyak 1,775 unit (6,803 unit pada Jun), walau pun Hilux dan Fortuner baharu dilancarkan pada Mei lalu.

Proton_Persona_Premium_Ext-2

Mengalami penurunan dua kali ganda, nampak gayanya Proton harus bekerja lebih keras lagi selepas memperkenalkan Proton Persona 2016 semalam, apabila Perdana baharu dilihat tidak begitu membantu jualan Proton. Menyusut sebanyak 3,095 unit iaitu hanya mencapai jualan sekitar 3,866 unit pada bulan Julai.

Dua jenama premium iaitu Mercedes-Benz dan BMW tidak terlepas dengan ‘senario penurunan jualan’ pada Julai lalu, dengan masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 940 unit (berbanding 1,234 unit pada Jun) dan 689 unit (760 unit pada Jun).

Begitu juga dengan dua lagi jenama Jepun yang popular iaitu Mazda dan Mitsubishi yang turut menyusut jualannya, masing-masing dengan rekod sebanyak 686 unit (1,295 unit pada Jun) dan 669 unit (732 unit-Jun).

Walau bagaimana pun, Subaru mampu tersenyum girang apabila mencatatkan peningkatan sebanyak 104 unit iaitu berjaya menjual 591 unit kenderaannya berbanding hanya 487 unit pada bulan sebelumnya. Mungkin juga ia didorong oleh promosi jualan XV dan Forester bagi model 2014/2015 dengan harga yang menjunam, turut menyumbang angka jualan yang memberangsangkan.

Menurut MAA, jumlah jualan bagi Julai 2016 adalah kurang sebanyak 26% atau 14,887 unit berbanding tempoh yang sama pada 2015 adalah disebabkan dua faktor utama iaitu tempoh waktu bekerja yang pendek disebabkan cuti Hari Raya Aidilfitri dan juga permintaan yang lebih tinggi pada bulan Jun 2016 disebabkan perayaan yang sama.

Ini bermakna Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi Jumlah Rekod Terkini (YTD) 2016 menurun sebanyak 16.5% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Diharapkan jualan kenderaan kembali stabil dan meningkat pada bulan-bulan seterusnya, apatah lagi selepas pelancaran model yang dinanti-nantikan termasuklah Perodua Bezza, Proton Persona 2016 dan akan datang, model baharu bagi Honda Accord, Toyota Vios, Proton Saga dan sebagainya.

Carta di bawah ini menunjukkan rekod penuh bagi jualan kenderaan bagi Julai 2016 mengikut jenama:

July-2016-Malaysian-car-sales