BMW 330e iPerformance Sport plug-in hybrid kini di Malaysia – 0-100 km/j 6.1 saat, 2.1l/100km, RM249k

BMW_330e_Ext-3

Sempena dengan BMW Innovation Days Malaysia 2016 yang berlangsung mulai hari ini, BMW Group Malaysia mengambil kesempatan melancarkan model BMW 330e iPerformance Sport plug-in hybrid baharu. Ia merupakan kenderaan hibrid dengan Teknologi eDrive kedua yang dipasang di negara ini. Malah ia menjadi model ke-12 yang menyertai portfolio kenderaan pemasangan tempatan di kemudahan BMW Group Malaysia di Kulim Hi-Tech Park.

BMW 330e ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter empat-silinder teknologi BMW TwinPower Turbo, motor elektrik dan kotak gear Steptronic lapan-kelajuan yang sama dengan yang ada pada BMW X5 xDrive40e dan 740e. Bagaimana pun, enjin berkenaan menghasilkan kuasa 180 hp dan tork maksima 290 Nm, dan digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 87 hp dan tork 250 Nm.

Malahan ia ia juga didatangkan dengan sistem pacuan roda belakang sepenuh masa dan teknologi eDrive. Secara keseluruhan, model ini memberikan kuasa 248 hp dan tork 420 Nm, berbeza dengan model 330i petrol yang menawarkan kuasa 252 hp dan tork 350 Nm.

Hasil gabungan penjana kuasa dan sistem yang dipertaruhkan ini, 330e mampu mencapai bacaan 0-100km/j dalam masa 6.1 saat dan kelajuan maksimum 252 km/j. Ini hampir dengan bacaan yang dihasilkan oleh model 330i iaitu 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan laju maksimum 250 km/j.

Dari sudut penggunaan minyak pula, 330e mampu mencapai 2.1 liter per 100 km, berbanding 6.1 liter per 100 km bagi model 330i. Ia juga boleh dipacu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan jarak 37 km, pada kelajuan sehingga 120 km/j.

Talaan kenderaan serta kawalan rangkaian kuasa boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu menerusi butang eDrive dan suis Driving Experience Control. eDrive menawarkan tiga mode pemanduan iaitu AUTO eDRIVE, MAX eDRIVE dan SAVE BATTERY.

Dalam talaan AUTO eDrive, enjin dan motor elektrik berfungsi secara selari dengan sangat efisien. Motor elektrik digunakan untuk keperluan kuasa yang normal. Kuasa enjin kemudian digunakan apabila kenderaan mencecah kelajuan sekitar 80k m/j atau ketika pemandu ingin mula memecut.

Bertukar kepada mod MAX eDRIVE akan menggerakkan sistem pacuan elektrik pada output penuh tanpa sebarang emisi. Dikuasakan sepenuhnya oleh motor elektrik, BMW 330e mencapai kelajuan maksimum sehingga 120 km/j. Jika lebih banyak kuasa diperlukan daripada sistem pacuan elektrik, enjin pembakaran dalaman akan diaktifkan secara serta-merta dan memastikan gangguan yang minimum pada pemanduan.

Manakala dengan jarak maksimum sejauh 37 km pada mode elektrik sepenuhnya, MAX eDRIVE nyata sesuai untuk pengguna di bandar yang mahukan perjalanan lebih efisien dan prestasi sewajarnya. Bagi mod SAVE BATTERY, tenaga elektrik disimpan atau diganti menerusi proses ‘pemulihan’ ketika kenderaan meluncur di atas jalan raya.

Selain daripada butang eDrive, BMW 330e hadir bersama butang Driving Experience Control yang membolehkan pemandu untuk melakukan konfigurasi ke atas stereng, fungsi chasis dan karekter penukaran kedudukan gear. Boleh dikawal menggunakan suis Driving Experience Control pada konsol tengah, mod-mod yang ditawarkan adalah COMFORT, SPORT dan ECO PRO.

Mengekalkan reka bentuk luaran BMW 3 Series, BMW 330e baharu menyerlahkan sifat hibridnya. Pada masa yang sama mengekalkan identitinya sebagai sebuah sedan ikonik. Kemampuan hibrid BMW 330e diserlahkan melalui rekaan ringkas dan sofistikated yang dijelaskan oleh rasa elegan dan sporty.

Ciri luaran khas sebuah kenderaan plug-in hybrid termasuklah sebuah soket panel pengecas yang diposisikan di bahagian kiri hadapan kereta ini. Lampu berwarna biru akan menyala sebaik sahaja proses mengecas bermula bagi menunjukkan aliran tenaga elektrik.

Lencana “eDrive” daripada model BMW i pula dipasang pada sisi kereta. Karekter dinamik BMW 330e baharu diserlahkan lagi oleh rim aloi ringan jejari-V bersaiz 18-inci dengan saiz tayar yang berbeza-beza.
BMW 330e baharu juga dilengkapi dengan head-up display, bantuan parkir, kamera undur dan bumbung kaca elektrik sebagai ciri standard.

Jentera ini juga dilengkapi dengan ciri inovatif BMW ConnectedDrive termasuklah pelbagai sistem bantuan pemanduan yang baharu. Ia merangkumi Navigation System Professional generasi terkini seperti iDrive Touch Controller dan juga Parking Assist dengan stereng automatik ketika hendak memarkir di ruang selari dan menegak.

Bateri bervoltan tinggi pada BMW 330e baharu menawarkan kapasiti tenaga kasar mencecah 7.6 kWh dan boleh ditambah melalui mana-mana soket kuasa domestik. Caj penuh menggunakan soket kuasa domestik konvensional akan mengambil masa selama lima jam. Manakala BMW Wallbox Pro menawarkan tempoh pengecasan lebih pantas iaitu 3.5 jam.

Sebagai sebahagian daripada BMW 360° ELECTRIC, para pelanggan akan ditawarkan dengan perkhidmatan ChargeNow. Ia terdiri daripada sekeping kad ChargeNow yang menawarkan akses terus ke stesen-stesen pengecasan seperti ChargEV, hasil kerjasama di antara BMW Malaysia dan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia). Stesen-stesen ChargEV kini beroperasi di 19 lokasi strategik di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Melaka dan Johor.

BMW 330e didatangkan dalam warna hitam (Black Sapphire), kelabu (Mineral Grey), biru (Mediterranean Blue) dan putih (Alpine White) bersama uplshoteri kulit hitam (Dakota Black).

Ditawarkan pada harga atas jalan RM248,800 tanpa insurans, pembelian 330e turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun bersama servis berjadual percuma.

Klik untuk besarkan

GALERI: Foto rasmi BMW 330e iPerformance Sport plug-in hybrid

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required