nuTonomy – sebuah syarikat yang membangunkan apliksi kini melancarkan ujian awam servis “teksi-robot” rekaan mereka. Ujian berkenaan diadakan di pusat perniagaan One-North, Singapura, di mana penduduk tempatan yang dipilih dijemput untuk menempah kereta tanpa pemandu menerusi aplikasi nuTonomy di telefon pintar.

Kereta yang digunakan oleh nuTonomy dalam ujian ini adalah kereta elektrik sepenuhnya Renault Zoe dan juga Mitsubishi i-Miev, yang dilengkapi dengan perkakasan pengesanan serta pemprosesan, dan juga perisian pemanduan automatik. Jurutera akan ditempatkan di dalam kereta-kereta ini buat permulaan untuk mengumpul data serta mengawal kenderaan secara manual jika diperlukan.

nuTonomy berharap untuk menyediakan servis “teksi-robot” ini secara meluas di Singapura menjelang 2018. Syarikat berkenaan dipilih oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) awal bulan ini sebagai rakan R&D, untuk menyokong pembangunan servis kenderaan tanpa pemandu komersial di republik berkenaan.

“Ujian pertama seumpanya di dunia oleh nuTonomy ini merupakan cerminan terus tahap kematangan yang kami capai dengan sistem perisian AV kami. Ujian ini mewakili peluang luarbiasa untuk mengumpul respon dari penumpang dunia sebenar, dan respon ini akan memberikan kelebihan yang unik kepada nuTonomy dalam usaha kami untuk melancarkan kereta-kereta tanpa pemandu menjelang 2018,” kata CEO dan pengasas bersama nuTonomy, Karl Iagnemma.

Sebagai tambahan, nuTonomy juga sedang mengoperasikan kereta tanpa pemandu di Michigan dan United Kingdom, di mana mereka menguji perisian mereka dengan kerjasama pengeluar automotif utama seperti Jaguar Land Rover.