Apabila sekadar mendengar bahawa Lazareth LM 847 adalah sebuah motosikal yang menggunakan enjin V8 4,691cc daripada Maserati, yang turut digunakan untuk memacu Maserati Quattroporte dan Alfa Romeo 8C Competizione, mungkin ramai yang menyangka ia sekadar rekaan.

Tetapi video ini telah membuktikan ia wujud dan berfungsi baik, berlegar sekitar bandar Annecy, Perancis, yang juga adalah tempat syarikat pembuatnya, Lazareth Auto-Moto.

Kuasa sebanyak 470hp dan 611Nm tork mampu disampaikan ke dua tayar 17 inci pada bahagian belakang motosikal ini dan ia masih boleh miring untuk mengambil selekoh hasil penggunaan dua lengan ayun berasingan untuk dua roda belakang dan dua lagi lengan ayun untuk dua tayar hadapan.

Brek hadapan Lazareth LM 847 menggunakan tetapan outboard seperti motosikal Buell, dengan cakera bersaiz 420mm dan sepasang angkup lapan piston manakala di belakang pula brek yang digunakan bertetapan inboard, bersama angkup Brembo.

Secara keseluruhannya Lazareth LM 847 mempunyai berat 400kg.

Menurut syarikat Lazareth Auto-Moto, motosikal ini akan dihasilkan sekiranya ada tempahan namun harganya tidak dinyatakan.