fiestast_redfront

Sebelum ini, ia ditawarkan dalam bentuk hatch tiga-pintu, kini Ford Fiesta ST lima-pintu telah pun berada di Eropah. Menjadikan ia lebih praktikal dengan penggunaan yang cukup sesuai untuk seisi keluarga.

Perbezaan yang ada bagi ST berbanding model standard Fiesta ialah menampilkan gril trapezoidal ‘sarang lebah’, tiga corong udara yang lebih agresif, skirt sisi yang lebih sporty, peresap belakang yang diwarnakan sama dengan badan dan rim aloi 17-inci. Di bahagian dalamnya, tempat duduk hadapan Recaro dan kekemasan ST turut jadi pilihan.

fiestast_redrear

Di bawah hudnya, masih terletak mekanikal yang sama seperti Fiesta tiga-pintu, iaitu 1.6 liter EcoBoost pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 182 PS dan tork 240 Nm. Hanya transmisi manual enam-kelajuan sahaja yang ditawarkan, yang menghantar kuasa ke roda hadapan. Jentera hatch ini juga boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.9 saat, sama seperti varian tiga-pintu. Manakala penggunaan bahan apinya sekitar 6.1 liter bagi setiap 100 km.

Casisnya pula ditala oleh Ford Performance, malah suspensi dan sterengnya juga diberi talaan semula, serta menampilkan brek yang lebih besar. Sementara sistem Kawalan Penvektoran Tork pula telah mengurangkan understeer. Ia juga menawarkan sistem kawalan kestabilan tiga-mod.

Walau bagaimana pun, ini bukanlah Fiesta ST pertama yang dibangunkan dengan kerangka lima-pintu di Eropah, kerana ia juga telah berada di Amerika Syarikat.

GALERI: Ford Fiesta ST di Malaysia