new-isuzu-d-max-v-cross-thailand-1

Isuzu D-Max V-Cross telah pun diperkemaskinikan di Thailand, dengan beberapa peningkatan bagi gaya, senarai elemen dan penjana kuasanya. Versi tertinggi bagi D-Max ini mampu memberikan persaingan hebat buat Chevrolet Colorado High Country dan Ford Ranger Wild Trak di sana.

Di bawah hudnya, V-Cross ini dijanakan oleh enjin 3.0 liter 4JJ1-TCX empat-silinder turbodiesel, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 177 PS pada 3,600 rpm dan tork 380 Nm dari 1,800 hingga 2,800 rpm. Tidak seperti model facelift D-Max 1.9 Ddi, penjana kuasa ini tidak menerima pilihan manual enam-kelajuan, tetapi masih mengekalkan kotak gear lima-kelajuan, dan juga menerima transmisi automatik enam-kelajuan baharu, termasuk sistem melahu start/stop.

Bagi luarannya, D-Max ini telah direka semula bahagian lampu utama projektor LED dengan lampu nyalaan siang LED yang lebih kurang sama dengan saudaranya 1.9 Ddi. Selain itu, ia turut diberikan elemen baharu termasuk hiasan tambahan pada bonet dan gerbang roda, pelindung bampar hadapan, cargo bed-liner dan roda enam-jejari 18-inci.

Untuk ruang dalamannya pula, pikap ini kini didatangkan dengan upholstery kulit dua-tona, kekemasan plastik baharu, kawalan kelajuan, dua port pengecas USB dan sistem hiburan Kenwood bersama navigasi dan juga aplikasi Isuzu Connect World.

Selain itu, bagi varian V-Cross dengan manual lima-kelajuan turut dilengkapi elemen Genius Sport Shift iaitu sebahagian daripada paparan pelbagai-informasi kenderaan. Ciri ini juga telah ditampilkan pada D-Max 1.9 Ddi, bagi mengindikasikan pemandu melakukan pemilihan gear dan bila gear perlu ditukar.

Bagi varian spesifikasi tertinggi, kit keselamatan yang ditambah termasuklah hill-hold assist dan traction control (yang tidak terdapat pada varian rendah), di samping beberapa elemen standard termasuk dua beg udara SRS di hadapan, ABS dengan EBD dan BA.