Toyota Vios 2016, tempahan dibuka – Dual VVT-i, CVT, VSC semua varian, dari RM76,500-RM96,400

highlights-trd-1-e1474907467258_bm

UMW Toyota Motor telah mendedahkan spesifikasi penuh dan harga untuk Toyota Vios 2016 di laman web mereka, dan tempahannya kini sudah mula dibuka. Rupa luaran dan dalaman model versi kemaskini ini kelihatan hampir serupa dengan model sedia ada tetapi sedan segmen-B ini kini diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan dilengkapi pelbagai ciri utama terkini yang dipertingkat.

Harga untuk model baharu ini dilihat sedikit murah berbanding model sebelumnya. Varian asas 1.5J manual dijual pada harga RM76,500 dan RM79,500 untuk 1.5J automatik. Sama seperti sebelum ini, varian lebih tinggi hanya ditawarkan dengan transmisi automatik dengan varian 1.5E dijual pada harga RM83,900, 1.5G berharga RM89,800 dan varian tertinggi TRD Sportivo berharga RM96,400. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan termasuk insuran serta perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

Secara keseluruhan, Vios baharu ini adalah RM1,480 dan RM3,680 lebih murah dari sebelum ini, walaupun awal tahun ini UMW Toyota telah mengumumkan kenaikan harga bagi semua modelnya. Varian baharu juga telah ditambah dalam barisan model iaitu 1.5 GX yang diletakkan di bawah varian G, dijual pada harga RM92,800.

Model baharu ini dijana oleh enjin empat silinder 2NRFE 1.5 liter Dual VVT-i menggantikan enjin 1NZ-FE VVT-i sebelum ini. Enjin berkenaan dilengkapi sistem pemasaan injap bervariasi pada injap kemasukan dan injap ekzos, tetapi, enjin 2NR-FE ini sebenarnya mempunyai kuasa kurang daripada enjin 1NR-FE iaitu 107 PS pada takat 6,000 rpm (-2 PS) dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm (-1 Nm).

highlights-trd-2-e1474907498521_bm

Walau bagaimanapun, enjin baharu ini bakal memberikan penggunaan bahan api yang lebih baik. Tambahan pula, kotak gear empat kelajuan automatik pada model terdahulu telah digantikan dengan kotak gear CVT yang disertakan mod tujuh-kelajuan maya. Tiada perubahan pada kotak gear lima-kelajuan manual untuk model 1.5J.

Ciri sampingan lain kebanyakkan adalah sama seperti model sedia ada. Bahagian luaran varian 1.5J didatangkan standard dengan lampu hadapan reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, visor pintu, roda aloi 15-inci dan juga lampu kabus belakang. Bahagian dalaman, varian asas ini turut dilengkapi sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pemain utama audio 2-DIN dengan hubungan Bluetooth, empat pembesar suara dan lampu pada ruang kaki.

Varian E turut akan menerima lampu kabus hadapan, cermin sisi berkuasa dengan lampu isyarat membelok, tempat duduk belakang boleh-lipat dengan nisbah 60:40 serta perehat tangan belakang dengan pemegang cawan. Ciri baharu untuk model 2016 adalah sistem infotaimen DVD-AVX dengan skrin sesentuh 6.8-inci bersama kamera undur.

Varian 1.5G pula menerima lampu hadapan projektor, cermin hadapan akustik, gril hadapan dan kemasan nombor pendaftaran belakang bersalut krom, upholsteri kulit berwarna hitam, paparan pelbagai info, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit serta enam pembesar suara.


Varian baharu 1.5GX

Untuk varian baharu 1.5GX pula, ia dilengkapi dengan kit badan baharu, lampu hadapan projektor ‘smoked‘, gril hadapan krom gelap, roda aloi dua-ton, serta balutan kulit gabungan warna hitam dan perang pada tempat duduk.

Model TRD Sportivo pula menerima kit badan dan roda aloi baharu – berbeza yang terdapat pada model GX. Filem Penapis Haba dan Keselamatan Premium Toyota juga didatangkan standard untuk model ini (opsyenal untuk varian lain). Pada bahagian dalaman, TRD Sportivo menerima kemasan hitam, tempat duduk kulit hitam dengan jahitan benang merah serta grafik pada kluster instrumen yang lebih sporty.

Vios 2016 turut menerima peningkatan dari segi sistem keselamatan di mana kesemua varian kini dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) disamping sistem ABS dengan EBD dan BA serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada bahagian belakang. Walau bagaimanapun, semua varian masih kekal dengan dua beg udara.

vios-pm-ipte_bm

Klik untuk besarkan

Pelbagai ciri opsyen juga ditawarkan untuk Vios, sama seperti sebelumnya termasuk sistem DVD-AVX dengan kamera bagi varian J (RM3,169), sistem navigasi DVD-AVN dengan skrin sesentuh kapasitif tujuh-inci (RM2,109) dan naik taraf kepada sistem DVD-AVN untuk model yang dilengkapi dengan DVD-AVX (RM2,014).

Opsyen lain yang ditawarkan termasuk kit aero GX (RM2,332) dan pilihan sama ada Filem Penapis Haba Toyota Essential (RM1,166) atau Filem Penapis Haba dan Keselamatan Premium Toyota (RM2,109) untuk cermin pada varian J dan E. Perakam Video Digital juga ditawarkan dengan harga tambahan RM636.

Tiga warna tambahan disediakan untuk dipilih dalam brosur Vios 2016 iaitu Crimson Spark Red Metallic, Super White II dan White Pearl CS (hanya ditawarkan untuk TRD Sportivo), bersama warna sedia ada iaitu Silver Metallic, Medium Silver Metalic dan Attitude Black Mica.

GALERI: Toyota Vios 2016 spesifikasi Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required