2017-yamaha-mt-09-28-e1475663534445-850x578bm

Yamaha MT-09 yang mula diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 2013 kini diperbaharui untuk model 2017 dan melihatkan penggunaan rekaan yang lebih agresif menyerupai model lebih besar iaitu MT-10.

Ini boleh dilihat pada bahagian hadapannya yang kini menggunakan lampu utama LED dua pecahan, manakala kerangka belakang yang kini 30 mm lebih pendek turut dijadikan lebih condong ke atas dan lampu belakang disepadukan sekali supaya nampak lebih kemas. Tempat duduknya masih lagi nampak rata seperti model semasa tetapi Yamaha menyatakan ia mempunyai sokongan yang lebih baik.

Bahagian untuk meletak nombor plet pula dipindahkan daripada bersambung pada kerangka tempat duduk kepada unit yang dilekatkan pada lengan ayun belakang dan duduk rendah di bawah.

Selain gaya, MT-09 turut diberi peningkatan prestasi apabila penunggang kini akan dapat menikmati penukaran gear lebih cepat kerana ia didatangkan secara standard bersama quickshifter manakala klac pula kini adalah unit Assist & Slip (A&S) yang lebih tepat dan boleh bertindak seperti klac slipper.

MT-09 2017 turut mendapat fork 41 mm dengan pelarasan tekanan serapan di bahagian kiri dan lantunan di bahagian kanan. Enjin masih dikekalkan iaitu unit 849 cc tiga silinder yang berkuasa 115 hp dan 88 Nm tork.