ford-f-150-2016-sema-show-04bm

Ford adalah antara pengeluar terawal yang mengeluarkan teaser bagi kenderaan yang mereka akan bawa ke pameran barangan aftermarket SEMA di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat 1 hingga 4 November ini. Lebih 50 buah kenderaan binaan khas Ford akan dipamerkan tetapi mereka cuba membawa perhatian kepada empat variasi trak F-150 yang diubah suai untuk kegunaan yang berbeza.

Sudah tentu, bagi sebuah trak pikap, kegunaan lasak adalah antara kelebihannya dan Ford bekerjasama dengan Bojix Design untuk menghasilkan sebuah kenderaan yang menggunakan enjin V6 3.5 liter EcoBoost dan dinaik taraf dengan unit turbo Borg Warner EFR dan sistem pemasukan udara Full Race untuk prestasi mengujakan.

F150 berwarna kelabu Nardo dan oren ini juga tampil dengan gaya bersesuaian – dinaikkan sehingga 7 inci, mempunyai lampu Radius 30-, 40- dan 50- inci, penghadang lumpur di bawah enjin dan rim buatan khas.

Bagi yang lebih kepada penggunaan atas jalan biasa, F150 EraThr3 oleh Hult Customs disiapkan dengan suspensi beg udara yang boleh menjadikan ia duduk rendah dan nampak padat dengan rim 26 inci. Kuasa enjin V8 5.0 liter pada trak ini turut dinaik taraf dengan unit supercas Whipple dan ekzos CGS Performance, menjadikan keseluruhannya berjumlah sehingga 750 hp.

Seterusnya, adalah versi BMX Lariat SuperCrew yang juga membabitkan penggunaan unit supercas Whipple, tetapi disasarkan kepada penggemar sukan lasak dengan kelengkapan seperti kamera GoPro, rangka basikal Ssquared dan alat ganti basikal Answer. Akhir sekali adalah trak projek oleh A.R.E Accessories yang berwarna emas dan menggunakan asas daripada XLT SuperCab dengan enjin V6 3.6 liter EcoBoost.