mercedes-benz-eg-bm-3

Pemerintah di Jerman sudah meluluskan resolusi untuk melarang penjualan kenderaan yang menggunakan enjin petrol atau diesel konvensional (pembakaran dalaman) di Kesatuan Eropah (EU) menjelang 2030, lapor Der Spiegel. Selepas tempoh berkenaan, hanya kenderaan sifar pembebasan sisa pembakaran enjin (zero-emission vehicle; kenderaan elektrik atau fuel-cell hidrogen) dibenarkan untuk dijual dalam pasaran.

Resolusi berkenaan diluluskan di Bundesrat, majlis persekutuan negara itu, tetapi masih tidak mempunyai kesan perundangan setakat ini. Bagaimanapun, mereka mahu Suruhanjaya Eropah untuk menguatkuasakan larangan berkenaan di seluruh EU, dan peraturan atau perundangan di Jermanlah yang secara tradisinya membentuk amalan di EU dan juga peraturan United Nations Economic Commission for Europe (UNECE).

Majlis berkenaan juga mahukan Suruhanjaya Eropah untuk “menilai semula amalan semasa berkaitan cukai berkaitan pendekatan serta rangsangan terhadap pergerakan sifar sisa pembebasan dari kenderaan.” Ini mungkin bermaksud agar EU memberikan lebih banyak insentif bagi pembelian kenderaan terlibat, serta mengakhiri era kelebihan cukai bagi kenderaan diesel bagi negara-negara kesatuan itu.

mercedes-benz-eg-bm-2

Harga diesel yang rendah serta kemampuannya memberikan jarak perbatuan yang lebih tinggi menjadi sebab kenapa kebanyakan kenderaan di sana dikuasakan oleh bahan api itu. Namun, dengan perkembangan teknologi, serta cabaran dari segi kos untuk memastikan enjin diesel menepati piawaian semasa yang lebih ketat memberi satu keperluan baharu untuk memansuhkan tangga cukai sedia ada terhadap kenderaan diesel.

Kebanyakan pengeluar kenderaan kini juga sedang memberikan penekanan yang lebih kepada pembangunan kenderaan sifar pembebasan sisa pembakaran enjin. Sebagai contoh, jenama-jenama seperti Mercedes-Benz, Volkswagen dan Renault ketika berlangsungnya pameran permotoran di Paris, memperkenalkan model-model konsep terbaharu dengan ciri pacuan elektrik.