kia-k2-1-bm

Selepas Kia Rio 2017 didedahkan pada bulan lalu, baru-baru ini laman portal automotif China, autohome.com.cn mendedahkan foto model Kia K2 sedan, yang dikatakan hanya akan dijual di negara berkenaan sahaja. Dikatakan bakal dilancarkan pada November ini, K2 2017 ini seakan memberikan gambaran bagaimana imej bagi Rio empat-pintu baharu.

Kia K2 sedan ini juga memiliki bonet yang lebih panjang, ketinggian yang dikurangkan dan beltline yang lebih melintang, dengan memberikan rekaan yang lebih bersepadu pada K2 berbanding model semasa Rio sedan dan pesaingnya yang lain.

Apa pun ia ada sedikit perbezaan dengan Rio hatch. Bahagian hadapannya lebih konvensional, dengan lampu utama projektor yang dibentuk semula disambung pada gril “hidung harimau” yang lebih besar. Selain itu, gril bawah pula lebih kecil, dan dipadankan dengan corong udara luaran yang lebih lebar berserta dengan lampu kabus dan lampu nyalaan siang (DRL) LED.

Pada bahagian sisinya, garisan tingkap turut direka semula dengan garisan karakter melintang yang digantikan rekaan jejalur ke bawah. Manakala pada bahagian belakangnya pula, lampu LED berbentuk-L turut dipadankan dengan palang melintang, bersama valence berwarna hitam yang turut menempatkan plat nombor dan lampu kabus.

Bagi kabinnya pula, kekemasan hitam berkilat menjalari bahagian papan pemuka. Kekemasannya diambil sedikit daripada Rio, walau bagaimana pun, ia turut menempatkan roda stereng tiga-jejari, panel kawalan suhu dan instrumen dwi-meter disusun semula. Malahan tempat duduknya turut tampil dengan rekaan yang sama, namun menggunakan kekemasan upholstery kulit yang berbeza.

Menurut laporan tersebut, K2 tidak akan menggunakan enjin Rio baharu iaitu 1.0 liter pengecas turbo T-GDI, sebaliknya akan terus memadankan enjin 1.4 liter dan 1.6 liter naturally-aspirated, yang menghasilkan kuasa 107 hp dan 123 hp. Manakala transmisi dijangkakan automatik enam-kelajuan.