petronas-championship-1

Pusingan perlumbaan F1 di Litar Suzuka, Jepun yang baru berakhir semalam menyaksikan pasukan Mercedes AMG Petronas dinobatkan sebagai juara pengeluar bagi musim 2016 ini. Walaupun dianggap lebih manis jika ia berlaku semasa pusingan di Litar Sepang minggu sebelumnya, anugerah ini tetap bermakna kerana ia adalah kali ketiga berturut-turut Mercedes AMG Petronas mendapat gelaran ini.

Anugerah ini diberikan dengan perlumbaan masih lagi berbaki empat pusingan dan setelah pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg menjuarai pusingan di Suzuka manakala seorang lagi pemandu pasukan itu, Lewis Hamilton mendapat tempat ketiga walaupun berhadapan permulaan yang tidak lancar. Rosberg kini berada di tempat teratas bagi kategori pemandu dengan jumlah mata 313 manakala Hamilton pula di tempat kedua dengan 280 mata.

petronas-championship-8

Peristiwa bermakna ini turut diraikan pekerja Petronas di KLCC dan pagi tadi, satu sesi fotografi diadakan sebagai satu kenangan untuk syarikat. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (Hiliran) Petronas, Md Ariff Mahmood.

“Kami cukup bangga dengan kejayaan ini kerana penglibatan Petronas bukan setakat sebagai penaja tetapi juga rakan kongsi teknikal. Semua pelincir yang ada pada kereta F1 itu adalah produk Petronas,” tambah beliau.

Mercedes AMG Petronas adalah pasukan kelima yang berjaya mendapatkan gelaran juara tiga kali berturut-turut ini selepas Ferrari, Williams dan Red Bull. Rekod tertinggi adalah empat kali berturut-turut yang dicatat oleh McLaren (1988-1991) dan Red Bull (2010-2013). Mungkinkah Mercedes dapat melakukannya musim hadapan?