chevrolet-colorado-facelift-bm-02a

Bakal dilancarkan secara rasmi pada 18 Oktober nanti, Naza Quest Sdn Bhd selaku pengimport tunggal dan pengedar kenderaan Chevrolet di Malaysia mendedahkan buat pertama kali perincian bagi Chevrolet Colorado facelift dalam sesi pandu uji media yang berlangsung hari ini.

4 Oktober lalu, Naza Quest turut mengumumkan tempahan bagi model berkenaan sudah mula dibuka kepada orang ramai, dengan harga jualannya bermula dari RM95,000 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Sebagai tambahan, pelanggan yang membuat 100 tempahan pertama akan turut menerima khidmat servis dengan tenaga buruh dan alat ganti percuma selama tiga tahun (tertakluk kepada terma dan syarat).

Melalui pendedahan hari ini, spesifikasi yang ditawarkan bagi Chevrolet Colorado terbaharu ini juga sedikit-sebanyak sudah dapat dipastikan. Trak pikap ini akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin; 2.8L Duramax empat silinder turbodiesel dengan Variable Geometry Turbocharger (VGT) dan 2.5L Duramax empat silinder turbodiesel (VGT) kecuali bagi varian paling asas dengan transmisi manual. Kedua-duanya telah diberikan peningkatan dari segi prestasi dan penggunaan petrol.

Bagi enjin 2.8L, ia kini menawarkan kuasa sebanyak 193 hp dengan tork 500 Nm. Bagi versi 2.5L pula, ia kini menjana 180 hp dan 440 Nm tork. Lima varian ditawarkan keseluruhannya; bagi 2.5L, ia terdiri daripada varian LT (dengan transmisi manual), LT (AT) dan LTZ (AT). Bagi 2.8L pula, hanya ada dua varian; LTZ (AT) dan High Country.

chevrolet-colorado-facelift-bm-26

Dari segi penggayaan luaran, Chevrolet Colorado baharu ini menampilkan imej yang lebih gagah. Wajah bahagian depan yang nampak kukuh antara lain disumbangkan oleh rekaan hudnya. Ini dilengkapi pula dengan ciri lampu utama automatik dengan lampu nyalaan siang LED dan sistem Follow Me Home, Sports Bar baharu, rim aloi dan kemasan krom pada pemegang pintu memberikan kelainan padanya.

Trak pikap ini juga kini turut dilengkapi dengan ciri Remote Engine Start. Ia membolehkan enjinnya dihidupkan melalui kawalan jauh agar sistem penghawa dingin dapat berfungsi untuk menyejukkan kabin terlebih dahulu dalam keadaan pintu masih kekal terkunci sepenuhnya.

Turut menjadi ciri standard bagi semua varian Colorado ini ialah Chevrolet MyLink dengan paparan skrin sentuh serta capaian Bluetooth serta aplikasi Apple Carplay; yang pertama bagi segmennya. Ia membolehkan pengguna telefon pintar Apple memaparkan versi ringkas skrin telefon mereka pada skrin sentuh kederaan ini. Ia juga melibatkan ciri Siri Eyes Free dan perisian pengecaman suara untuk menerima input daripada pengguna.

Kecuali varian dengan transmisi manual, pengenalan ciri Electric Power Steering (EPS) menjadi satu lagi kelebihan bagi Colorado; kendalian stereng lebih ringan dalam kelajuan rendah dan semakin berat ketika kelajuan bertambah. Ia juga memberikan maklumbalas yang lebih peka. Untuk memudahkan pemandu, Colorado ini juga dilengkapi dengan sensor Park Assist di bahagian depan dan belakang, berserta kamera undur.

Comfort Closing Window pula menjadi satu ciri yang akan membuatkan cermin tingkap turut sedikit ketika pintu dibuka atau dikunci. Ini bagi mengelakkan terhasilnya ruang vakum dan membolehkan pintu ditutup dengan mudah dan lembut.

Dari sudut keselamatan, Chevrolet Colorado baharu ini menerima penarafan lima bintang bagi ANCAP dan ASEAN NCAP. Antara ciri keselamatan aktif yang melengkapinya ialah (bergantung kepada varian tertentu):

Beg udara bahagian depan termasuk beg udara bagi lutut pemandu, Traction Control System (TCS), Anti-lock Braking System (ABS), Panic Brake Assist (PBA), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Electronic Stability Control (ESC), Hill Descent Control (HDC), Hill Start Assist (HSA), Anti-Rolling Protection dan Trailer Sway Control.

Perincian lengkap berkaitan penawaran Chevrolet Colorado facelift ini akan dimaklumkan pada majlis pelancaran rasminya nanti.