2016-Mazda-2-Deep-Crystal-Blue-2_BM

Harga untuk Mazda 2 di Malaysia telah pun meningkat sehingga RM3,180 untuk semua versi. Ini termasuk model hatchback dan sedan, sama ada dilengkapi dengan lampu hadapan LED atau tidak.

Mazda 2 standard dengan lampu hadapan halogen reflektor kini dijual pada harga RM87,586, naik RM2,120 dari sebelum ini (RM85,466). Manakala untuk model dengan lampu hadapan LED pula dijual pada harga RM93,946, naik RM3,180 dari sebelum ini (RM90,766).

Warna badan signatur Mazda – Soul Red masih kekal dengan tambahan RM530, jika pembeli berhajat untuk memilih warna berkenaan. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran. Namun, ciri-ciri pada model ini masih kekal seperti sebelum ini tanpa sebarang penambahan.


Klik untuk besarkan

Mazda juga masih mengekalkan pilihan aksesori pada model 2 ini, dengan Sports Kit (lip bampar hadapan dan belakang, skirt sisi dan spoiler belakang) masih kekal dengan harga RM2,300 (sedan) dan RM2,370 (hatchback). Aksesori lain termasuk tip ekzos krom (RM70), boot tray (RM130), scuff plate logam tahan karat dengan lampu LED (RM275) dan sistem navigasi untuk sistem Mazda Connect.

Setiap pembelian Mazda 2 juga masih dilindungi waranti pengeluar selama tiga-tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dulu) serta pakej servis berkala percuma tiga tahun atau 60,000 km (yang mana sampai dulu).