Produk dari Yamaha nampak semakin menarik sejak kebelakangan ini. Di Malaysia, keadaan masih panas dengan model seperti Y15ZR, NMax dan Avantiz, tetapi di negara jiran yang kebiasaannya lebih ke hadapan dengan model-model baru, Yamaha sudah mula mempromosi motosikal yang lebih menarik.

Paling menjadi bualan adalah Yamaha NVX 150 – dilabelkan sebagai sebuah skuter super sports dan kini sedang giat dipromosi di Vietnam. Dalam video pertama yang dikeluarkan oleh Yamaha Vietnam, ia dikatakan akan membuat kemunculan pertama pada bulan September 2016 tetapi dalam video kedua pula, ia ditukar kepada Oktober 2016.

Lebih menarik lagi, motosikal ini sudah semakin hampir dengan Malaysia, di mana kelibatnya sudah mula ternampak di Indonesia, dengan blog-blog motosikal utama negara itu sudah mula menyebarkan gambar risikan yang diperolehi.

Spesifikasi penuh motosikal ini masih lagi dirahsiakan tetapi apa yang diketahui, ia akan menggunakan enjin berkapasiti 150 cc yang mempunyai teknologi Blue Core. Jika di dalam barisan model motosikal Yamaha, paling hampir sudah tentu adalah enjin daripada model NMax, yang mempunyai kuasa 14.8 hp dan 14.4 Nm tork.

NMax mempunyai badan yang lebih besar, tetapi NVX pula sedikit kecil seperti Nouvo LC. Dengan padanan kuasa dan badan itu, NVX diangkat sebagai sebuah skuter sports dan rekaannya lebih agresif dengan banyak garisan-garisan tajam. Bahagian tayar pula menggunakan padanan rim 14 inci dan tayar selebar 140 mm di belakang manakala di hadapan pula 110 mm.

Aspek teknologi dan keselesaan tidak diabaikan pada NVX dan antara ciri menarik baru yang ada padanya adalah sistem Smart Start/Stop (SSS) yang akan mematikan enjin apabila motosikal berhenti dan hidup semula apabila pendikit dipulas (contohnya semasa menunggu di lampu isyarat).

screen-shot-2016-10-13-at-13-21-19

Bahagian meter pula menggunakan skrin LCD digital berukuran 5.8 inci yang lebih moden manakala di bawah tempat duduk disediakan ruang simpanan sebesar 25 liter.

Hong Leong Yamaha Motor masih tidak mengeluarkan sebarang tanda untuk memperkenalkan NVX 150 di Malaysia tetapi ia mungkin juga sedang dipertimbangkan kerana Nouvo juga kini sudah tidak tersenarai dalam barisan produk motosikal automatik Yamaha di dalam laman webnya.