Pembuat kenderaan dari Jerman, Volkswagen menyatakan model Golf facelift sedia untuk membuat penampilan secara rasmi November ini. Meskipun laporan sebelum ini menunjukkan hanya sedikit perubahan pada bahagian luar, kenderaan hatchback popular ini turut dikatakan mendapat perubahan pada bahagian enjin dan transmisi.
Antaranya adalah enjin hibrid yang didakwa mencatat penggunaan bahan api ‘pemanduan sebenar’ kurang daripada 4.0 l/100 km. Konfigurasi hibrid ini melibatkan padanan enjin tiga silinder 1.0 liter bersama unit supercas elektrik 48 V.
Model hibrid ini akan menjadi sebahagian daripada usaha Volkswagen memperkenalkan kenderaan mesra alam di Amerika Syarikat selepas skandal Dieselgate membantutkan usaha menggunakan enjin diesel. Setakat ini, Volkswagen mempunyai sebuah lagi kenderaan mesra alam iaitu Golf GTE – hatchback plug-in hybrid yang menggabungkan enjin 1.4 TSI 148 hp dengan motor elektrik 101 hp. Keseluruhannya, kenderaan tersebut mampu menghasilkan 201 hp dan 350 Nm tork.
Untuk pembaharuan ini, barisan model Golf standard dijangka akan menggantikan model berenjin 1.4 TSI petrol dan 1.6 TDI diesel – dengan unit petrol dan diesel yang baru – kedua-duanya berkapasiti 1.5 liter. Bagi model prestasi, enjin empat silinder 2.0 liter turbo juga akan menerima pembaharuan.
Galeri: Volkswagen Golf R mk7 facelift di litar Nurburgring
Volkswagen Golf R mk7 facelift di jalan raya biasa
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.