melbourne-australia-yarra-tram-service

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kini sedang melihat kemungkinan untuk memperkenalkan servis tram di Kuala Lumpur. Kajian terperinci sedang dijalankan oleh jabatan ini dan ia dijangka lengkap menjelang akhir tahun 2017, lapor The Sun.

Menurut laporan Pelan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (PTPAD) 2010-2015 jabatan itu, servis tram bagi ibu negara ini sedang dikaji sebagai mod pengangkutan awam tambahan. Ia adalah sebahagian daripada pelan pengangkutan awam darat Kuala Lumpur yang lebih besar untuk meningkatkan pengalaman perjalanan menerusi rangkaian kereta api.

Servis tram adalah lebih cekap dan mesra alam, dan ia dapat mengurangkan kesesakan di dalam pusat bandar. Kajian ini akan meneroka unjuran ekonomik serta tindakan kewangan dan teknikal yang diperlukan untuk menyokong operasi servis tram ini, dan juga melihat keperluan penumpang apabila menggunakannya.

Dalam laporan PTPAD juga ada menyatakan satu lagi kajian akan dijalankan untuk melihat bagaimana servis tram ini boleh bersambung dengan mod pengangkutan lain serta penggunaan aset kereta api optima.