Pada Mei lalu, Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengemukakan cadangan untuk menurunkan had umur permulaan pemegang lesen motosikal dari 16 tahun ke 15 tahun bagi membenarkan golongan muda memiliki lesen yang sah.
Ia adalah susulan terdapat laporan yang mengatakan 80% dari sekitar 117,000 pelajar sekolah di Malaysia yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen. Mereka yang melakukan kesalahan berkenaan adalah terdiri daripada pelajar berumur antara 11 hingga 20 tahun di kawasan luar bandar.
Terbaru, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi dalam kenyataannya berkata, buat setakat ini tidak perancangan untuk menurunkan had umur pengambilan lesen menunggang motosikal dan ia masih kekal minimum 16 tahun, laporan The Star.
“Kami merasakan umur di bawah 16 tahun adalah masih belum cukup matang untuk berada di jalan raya,” ujarnya bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) di Dewan Parlimen semalam.
Dalam masa yang sama, beliau juga menjawab soalan dari Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir Ab Aziz (BN–Kulim Bandar Baru) yang mahu mengetahui tentang saman trafik yang dikeluarkan.
Kata Ab Aziz, sehingga September 2016, terdapat sejumlah 231,788 saman telah dikeluarkan terhadap pesalah trafik untuk pelbagai kesalahan berhubung dengan lesen.
“Ini termasuklah kegagalan memperbaharui lesen, menggunakan lesen yang tidak spesifik dengan klasifikasinya dan memiliki lesen palsu,” jelas Ab Aziz lagi.
Beliau turut menambah, kos pengambilan lesen memandu/menunggang motosikal bukanlah alasan mengapa pengguna jalan raya tidak memiliki lesen yang sah.
Katanya, “Terdapat pelbagai program termasuk 1Komuniti 1JPJ dan MyLesen yang dianjurkan bagi membantu mereka mendapatkan lesen menunggang motosikal B2 yang sah dengan kos yang berpatutan.”
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.