hyundai-grandeur-2017-bm

Selepas menyiarkan beberapa imej teaser bagi Hyundai Grandeur 2017 beberapa hari lepas, syarikat itu akhirnya mengeluarkan gambar sebenarnya. Grandeur 2017 adalah sebuah sedan generasi keenam dan menggunakan nama Azera di beberapa negara. Ia akan mula dijual di Korea Selatan bulan depan.

Jelas, model baru ini nampak lebih mewah, dengan bahagian hadapan yang dipanjangkan dan garisan lebih rapi. Pada bahagian hadapan juga, lampu utama LED berbentuk trapezoid seakan diambil daripada BMW 5 Series G30 manakala gril pula membawa gaya korporat, seperti yang pertama kali dilihat pada i30.

Pada bahagian tepi pula terdapat ‘garisan bahu’ yang panjang, dari lampu hadapan hingga ke pintu belakang, dan diteruskan oleh lengkuk tayar belakang. Lampu belakang kiri dan kanan pula bersambung di bahagian tengah.

Di dalam, papan pemuka yang digunakan mempunyai beberapa lapis, atas berwarna gelap sementara separuh lagi di bawahnya berwarna coklat. Menurut Hyundai, teknologi cat dan bahan yang diperkaya menimbulkan rasa premium moden apabila berada di dalam Grandeur 2017.

Setakat ini masih belum dinyatakan pilihan enjin yang akan diguna pada Grandeur 2017, tetapi ia pasti tidak akan lari jauh daripada yang terdapat pada Grandeur sekarang. Dalam barisan kenderaan Hyundai, model ini terletak di antara Sonata dan Genesis.

Bagi Grandeur yang ada di pasaran sekarang, ia ditawarkan dalam dua pilihan enjin Theta empat silinder 2.4 liter (MPI dan GDi), dan dua unit Lambda V6 – 3.0 liter dan 3.3 liter. Turut disediakan adalah varian hibrid yang menggunakan enjin 2.4 liter MPI bersaa motor elektrik 3.0 liter.

Kereta ini datang secara standard dengan transmisi automatik enam kelajuan, tetapi bagi model baru, kotak gear automatik lapan kelajuan seperti yang terdapat pada Kia Cadenza generasi kedua dijangka digunakan.