dsc_5570-e1477535182881-850x479-bm

Pernahkah anda terfikir untuk bekerja di dalam kereta? Dengan kadar sewa untuk pejabat yang kini semakin menaik dan lebih banyak syarikat yang terbuka untuk menerima keadaan bekerja lebih fleksibel, idea ini mungkin boleh dipakai. Contoh yang baik ditunjukkan oleh Studio Hardie, sebuah syarikat rekaan di United Kingdom dan Nissan melalui penghasilan e-NV200 Workspace ini.

Ia adalah sebuah kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan konsep asalnya terhasil kerana kenderaan elektrik lebih jimat kos. Sambil mengecas di tempat percuma yang disediakan, pengguna boleh duduk bekerja di dalam van ini. Jika tidak mahu suasana sibuk di bandar, mereka juga boleh membawanya ke kawasan lain yang lebih tenang.

Dari luar, Nissan e-NV200 Workspace kelihatan biasa sahaja tetapi di dalam, ia telah diubah suai secara meluas dengan kelengkapan seperti meja lipat yang menempatkan komputer, papan kekunci dan tetikus, serta alat tulis yang masing-masing mempunyai bekas sendiri. Pada bahagian yang bertentangan, terdapat pula kaunter membuat kopi bersama mesin khas.

Lantai pada bahagian belakang kenderaan ini ditutup dengan kayu oak, dan pada bahagian tertentu, ia mempunyai tapak khas untuk pengguna meletakkan kerusi, sama ada di hadapan komputer atau di tepi pintu untuk mengambil angin. Sekiranya lebih ruang diperlukan, satu bahagian khas juga disediakan, yang boleh ditarik keluar ke belakang kenderaan. Apabila malam, suasanya akan lebih meriah kerana dihiasi dengan lampu LED berwarna kuning

Nissan e-NV200 Workspace boleh dicas sehingga tahap 80 peratus dalam masa hanya setengah jam. Jika pengguna tidak mahu bekerja di dalam kenderaan atau perlu ke sesuatu tempat berdekatan, mereka boleh menaiki basikal lipat, yang juga mempunyai tempat khas untuk menggantungnya.