Honda memperkenalkan model CR-V 2017 awal bulan ini, yang telah menerima rekaan dan aspek kejuruteraan serba baharu bagi model generasi kelimanya. Honda USA baru-baru ini mengeluarkan video tentang sebahagian daripada ciri-ciri utama yang melengkapi model berkenaan.

Antara yang dipaparkan ialah aspek rekaan yang diterapkan pada CR-V terbaharu itu; lampu depan LED sepenuhnya dengan gaya kemas, yang menjadi sebahagian daripada identiti baharu kenderaan Honda dengan wajah depan terkini Solid Wing Face. Bahagian lampu belakang yang diberi rekaan baharu serta pintu belakang tanpa kendalian tangan juga turut ditunjukkan.

Selain itu, enjin 1.5 liter turbocaj yang digunakan pertama kali bagi CR-V. Enjin DOHC suntikan terus dengan janaan output 190 hp pada 5,600 rpm dan 243 Nm tork antara 2,000 hingga 5,000 rpm, menjadikannya lebih berkuasa berbanding enjin yang digunakan pada Civic FC.

Bahagian dalamannya juga kini menggunakan material yang dipertingkatkan untuk memberi rasa yang lebih premium pada ruang kabin. Turut kelihatan ialah sistem infotainmen melalui skrin sentuh yang digunakan (kini dengan tombol Volume) serta bahagian kluster kawalan.

Bahagian meter menggunakan skrin LCD bagi paparan takat rpm, speedometer dan paparan pelbagai maklumat kenderaan, sama seperti yang ada pada Civic FC. Ruang dalamannya juga disifatkan lebih luas hasil daripada jarak roda yang lebih kini – 2,660 mm berbanding 2,620 mm.

Antara ciri lain yang turut disentuh ialah dua port USB mengecas peranti elektronik, dengan output 2.5 A setiap satu, yang membolehkan telefon pintar atau tablet dicas dalam masa yang lebih singkat.