nissan-tsuru-1-630x292-bm

Jika melihat kepada gambar, ramai di antara kita yang mengenali kereta ini sebagai Nissan Sentra B13. Dalam kebanyakan pasaran, model ini telah diberhentikan pengeluarannya dan diganti dengan yang baru, tetapi di Mexico, dikenali sebagai Nissan Tsuru, kereta ini masih lagi dikilangkan. Spesifikasinya adalah sama sejak dari tahun 1992. Sebab utamanya adalah ia murah dan mudah dijaga.

Tetapi kini, Nissan membuat pengumuman memberhentikan pengeluaran Tsuru di Mexico dan pengguna akan dirujuk kepada model baru yang lain seperti Versa. Pengumuman ini dibuat kerana dalam satu ujian perlanggaran yang dianjurkan Global NCAP dan Latin NCAP, Nissan Tsuru mencatat kosong bintang.

Global NCAP memberitahu bahawa pengguna Nissan Tsuru berhadapan risiko kecederaan yang mengancam nyawa kerana kenderaan itu tiada beg udara dan semua struktur utamanya gagal untuk melindungi orang di dalamnya.

“Ujian perlanggaran kereta-dengan-kereta kami yang pertama ini jelas menunjukkan kepentingan peraturan tahap ujian perlanggaran minimum. Mexico belum lagi menggunakan peraturan ini sementara Amerika Syarikat pula sudah melaksanakannya sejak beberapa dekad yang lalu. Kekurangan dalam tahap ini boleh membawa kepada penjualan kereta yang tidak selamat, seperti Nissan Tsuru,” kata setiausaha awam Global NCAP, David Ward.

“Seluruh negara Amerika Latin sepatutnya menggunakan tahap yang ditetapkan oleh UN atau yang setara dengannya, bagi semua kenderaan baru, supaya tiada lagi masa depan bagi kenderaan kosong bintang,” tambah beliau.

nissan-tsuru-2-630x180-bm

Tsuru juga pernah memasuki ujian perlanggaran oleh Latin NCAP pada tahun 2013 dan diberikan kosong bintang walaubagaimanapun, ia masih lagi dijual. Latin NCAP kini memberitahu bahawa Tsuru sudah terlibat dalam 4,000 kematian di atas jalan Mexico di antara tahun 2007 hingga 2012.

Walaupun langkah pemberhentian pengeluaran oleh Nissan ini disambut baik, setiausaha awam Latin NCAP, Alejandro Furas mempersoalkan kenapa ia tidak dilakukan lebih awal.

“Kenapa perlu tunggu sehingga tiga tahun selepas kami melakukan ujian, yang mana kereta tersebut diberi kosong bintang, baru mereka ingin menghentikan pengeluaran sekarang?” tanya beliau.