mercedes-benz-new-engine-bm-3

Mercedes-Benz mendedahkan maklumat awal enjin generasi baharu ketika acara Mercedes-Benz TecDay; barisan enjin berkenaan bukan lagi sekadar konsep – ia akan mula dikeluarkan bagi kegunaan kenderaan jenama itu pada 2017.

Ia terdiri daripada kedua-dua enjin petrol dan diesel, daripada enjin empat silinder hinggalah kepada enjin V8; ia bagaimana pun menyaksikan pengurangan saiz sesaran bagi versi V8 berkenaan. Semua enjin ini menggunakan konsep 500 cc bagi setiap silinder. Maksudnya, enjin-enjin yang akan terhasil nanti berkapasiti 2.0, 3.0 dan 4.0 liter.

mercedes-benz-m256

Pertama ialah enjin M256 enam silinder sebaris petrol baharu. Khabar angin sebelum ini menjadi kenyataan; Mercedes-Benz akan meninggalkan enjin V6 dan membangunkan enjin dengan konfigurasi enam-silinder sebaris. Namun, ada pembaharuan yang lebih penting pada enjin petrol 3.0 liter M256.

Ia menggunakan sistem elektrikal 48V yang membolehkan keseluruhan sistem sampingannya di overhaul. Sebagai contoh, tiada lagi penggunaan tali sawat di bahagian depan enjin bagi kegunaan peralatan pam air atau pemampat pendingin hawa. Inilah antara peralatan elektrik yang dikuasakan oleh sistem baharu ini, membolehkannya diletakkan di mana sahaja pada bahagian enjin baharu ini.

Kesannya, ia hanya memerlukan ruang yang lebih kecil bagi pemasangannya. Memandangkan enjin enam-silinder sebaris ini lebih sempit berbanding V6, sistem sokongan yang dimaksudkan diletakkan dibahagian sisi enjin.

Ia merupakan enjin dengan turbocaj yang turut dilengkapi pemampat elektrik tambahan 48V (eZV, atau turbo elektrik) untuk mengatasi masalah turbo lag. Motor penghidupnya juga digantikan dengan Integrated Starter-Generator (ISG) yang dipasangkan antara enjin dan transmisi yang mampu menyediakan tambahan 15 kW kepada enjin.

Output keseluruhan enjin ini mampu melebihi 408 hp dan lebih daripada 500 Nm, sementara pembebasan CO2 dikurangkan 15% berbanding enjin V6 ketika ini. Ia turut menggunakan penapis zarah (particulate filter) pada sistem ekzos, yang biasanya hanya terdapat pada kenderaan diesel.

Bagi kegunaan pada enjin petrol, Mercedes-Benz menggunakan cordierite, dan bukannya silicon carbide pada kenderaan diesel. Enjin ini akan membuat penampilan sulung pada model W222 S-Class facelift tahun depan.

mercedes-benz-om656

Kedua, enjin OM656 enam-silinder sebaris diesel. Ia disifatkan mampu menghasilkan 313 hp berbanding 258 hp enjin diesel berkapasiti besar yang digunakan kini, dengan penggunaan bahan api dapat dikurangkan sebanyak 7%.

Enjin diesel ini pendekatan dikenali sebegai stepped-bowl combustion, turbocaj ekzos dua peringkat dan ciri baharu bagi enjin-enjin diesel Mercedes-Benz – injap pemasa boleh ubah CAMTRONIC.

mercedes-benz-m176

Seterusnya, enjin M176 V8 bi-turbo petrol. Seperti dijangkakan, enjin V8 bukan AMG Mercedes-Benz akan berkapasiti 4.0 liter. Dengan sesaran 3,982 cc, kuasa maksimum dihasilkan ialah 476 hp (berbanding 455 hp) dengan tork maksimum 700 Nm dari 2,000 rpm.

Enjin V8 dengan dek tertutup ini dilengkapi penyahaktif silinder. Ini membolehkannya berfungsi dengan empat silinder dengan bebanan ringan dan kelajuan enjin sehingga 3,250 Nm melalui sistem CAMTRONIC. Ia turut menggunakan penapis zarah. Enjin ini akan digunakan pada W222 S-Class facelift.

mercedes-benz-m264

Terakhir ialah enjin M264 empat silinder petrol. Bagi pasaran Malaysia, kebanyakan kenderaan Mercedes-Benz yang dibeli adalah dari varian 200 atau 250. Maka, ini mungkin enjin yang paling menarik dan relevan untuk pasaran tempatan.

Seperti enjin M256, enjin empat silinder baharu ini turut menerima sistem 48V. Pengecaj turbonya adalah dari jenis twin-scroll, dan turut dipasangkan dengan penapis zarah pada sistem ekzos. Bagaimana pun, ia tidak dilengkapi ISG antara transmisi.

M264 menggunakan starter-alternator 48V dengan tali sawat (BSA) yang terletak pada kedudukan biasa alternator. BSA disifatkan menyumbangkan kepada kecekapan ciri Start/Stop pada enjin, lonjakan elektrik pada enjin menjangkau kepantasan 2,500 rpm, pemulihan tenaga sehingga 12.5 kW dan meluncur dengan enjin dimatikan.