johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

Mulai hari ini, 1 November 2016, Malaysia telah mula melaksanakan pembayaran caj jalan raya (RC) sebanyak RM20 ke atas kenderaan persendirian dengan nombor pendaftaran asing memasuki Malaysia melalui Johor. Buat setakat pagi ini, pelaksanaan yang bermula di pintu laluan masuk Malaysia-Singapura iaitu melalui Johor didapati berjalan lancar.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob, kutipan yang bermula pada jam 12 tengah malam tadi membabitkan 38 pos di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan 24 di Kompleks Sultan Abu Bakar di Gelang Patah, laporan Berita Harian.

Katanya lagi, buat setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan keseluruhan pelaksanaan kutipan RC yang berjalan lancar. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa kenderaan Singapura yang tidak memiliki baki mencukupi pada kad Touch ‘n Go (TnG) mereka menyebabkan kenderaan bergerak agak perlahan di beberapa laluan.

“Walau bagaimana pun, untuk tempoh sebulan ini, pihak PLUS akan menempatkan kakitangan mereka untuk melakukan ‘tambah nilai bergerak’ bagi membantu pemandu yang tidak memiliki baki mencukupi pada kad TnG,” ujarnya kepada pihak media.

Tambahnya lagi, tempoh percubaan RC selama dua bulan bermula dari Ogos di kedua-dua pintu masuk ini diharap dapat memberi makluman kepada semua kenderaan Singapura berhubung pelaksanaan yang bermula hari ini.

Setakat Julai lalu, sebanyak 144,000 kenderaan dari Singapura mendaftar dengan sistem Permit Masuk kenderaan (VEP) dan dianggarkan 60% daripada satu juta kenderaan yang keluar masuk Malaysia melalui dua pintu keluar masuk dalam tempoh sebulan merupakan kenderaan dari Singapura.

VEP yang dicadangkan pada 2006, sepatutnya bermula pada 16 Julai dengan mengenakan bayaran RM20 bagi kenderaan asing memasuki Johor, tetapi telah ditangguhkan sebanyak empat kali sebelum ini.