2017-ducati-superleggera-1-850x478bm

Sejak wujudnya sebuah laman web Ducati yang dinamakan sebagai ‘Project 1408’, beberapa gambar Ducati 1299 baru yang menggiurkan turut tersebar dalam internet. Ia menunjukkan kerangka, lengan ayun dan rim gentian karbon, bersama jaminan kuasa kuda ‘melebihi 200 hp’.

Kini, gambar 1299 Superleggera yang lebih sempurna telah pun disiarkan di laman web tersebut, bersama beberapa perincian lain. Spesifikasi bagi motosikal ini termasuk kuasa sebanyak 215 hp hasil daripada enjin Ducati Superquadro V-Twin dan ekzos Akrapovic spesifikasi WSBK.

Bertepatan dengan prestasi tingginya, kelengkapan lain juga datang daripada yang terbaik, dengan brek Brembo, suspensi Ohlins serta penggunaan meluas bahan jenis magnesium dan titanium pada pelbagai bahagian enjin.

2017-ducati-superleggera-2-bm

Dalam bahasa Itali, Superleggera membawa maksud ‘sangat ringan’ dan bagi model ini, berat kering yang dicatat dikatakan hanya 150 kg. Apabila diisi dengan minyak, ini boleh membawa kepada berat yang hampir sama seperti motosikal lumba yang digunakan dalam WSBK. Dengan itu, 1299 Superleggera juga menjadi superbike paling ringan pernah dihasilkan oleh Ducati bagi orang awam.

Motosikal ini akan dihasilkan dalam unit terhad 500 buah sahaja, dan sudah tentu, kebanyakannya akan dijual kepada pasukan lumba, pelumba persendirian dan juga mereka yang berpengaruh. Harganya sahaja sudah USD 80,000 (RM336,808).