mini-connected-01_bm

Setelah BMW memperkenalkan aplikasi BMW Connected, kini MINI pula memperkenalkan aplikasi serupa untuk versi jenama tersebut. Aplikasi berkenaan akan dilancarkan bersama pendedahan model MINI Countryman F60, yang akan membuat kemunculan sulungnya bulan ini di Los Angeles Auto Show.

Aplikasi ini, selepas dilancarkan nanti boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store, kemudian untuk versi Android pada masa akan datang. Menerusi aplikasi pada telefon pintar ini, pemandu akan menikmati pemanduan tanpa tekanan, mudah, selesa dan selamat setelah ia dihubungkan ke model MINI mereka menerusi hubungan Bluetooth atau USB.

Seperti juga BMW Connected, MINI Connected menampilkan pembantu mobiliti persendirian yang akan membantu merancang perjalanan dan memberikan amaran trafik, serta aplikasi berkenaan secara automatik mampu mengakses alamat dan temu janji yang pemandu telah tetapkan di dalam kalender iPhone mereka, seterusnya menggunakan informasi tersebut untuk merancang perjalanan.

Aplikasi berkenaan akan mengambil lokasi terkini dan destinasi yang telah ditetapkan, serta faktor dari informasi trafik masa sebenar dan situasi trafik untuk menentukan masa yang ideal untuk bertolak, dan menghantar peringatan kepada pemandu secara berkala menerusi telefon pintar mereka.

Apabila pemandu masuk kedalam kereta, setelah telefon pintar dihubungkan, maklumat kalendar secara automatik akan diselarikan bersama sistem navigasi, memberikan tunjuk arah yang lancar dan mudah. Ia juga turut menawarkan pilihan untuk membawa tempat-tempat dan POI dari aplikasi lain dan memindahkannya ke destinasi pada sistem navigasi.

Juga sama seperti BMW Connected, aplikasi MINI ini boleh menyimpan lokasi yang sering dituju sebagai destinasi kegemaran dan boleh mengenal pasti perjalanan yang kerap kali dilalui – apabila ia telah mengenal pasti laluan harian antara rumah dan tempat kerja, ia akan memberikan amaran sekiranya terdapat apa-apa ganguan trafik pada laluan tersebut, serta akan memberikan nasihat untuk bergerak lebih awal bagi memastikan pemilik dapat sampai ke destinasi tepat pada masa.

Khas untuk MINI Cooper S E Countryman ALL4, fungsi spesifik untuk sistem hibrid turut ditambah. Selain dari informasi caj bateri dan jumlah petrol dalam tangki bahan api, aplikasi berkenaan turut memaparkan jarak yang boleh dicapai menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan juga jarak keseluruhan perjalanan kereta tersebut.