vw-beetle-dune-launch-14

Sebelum melancarkan Volkswagen Passat B8 pada petang ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) terlebih dahulu memperkenalkan Volkswagen Beetle Dune yang tampil dengan imej lebih ranggi dan eksklusif.

Bagi pasaran Malaysia, Dune hadir dengan enjin 1.4 liter TSI dengan kuasa 170 PS. Jika di negara lain, Dune turut ditawarkan dengan pilihan enjin 1.2 liter dan 2.0 liter TSI. Penjana kuasa ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 250 Nm antara 1,500 dan 3,500 rpm. Manakala kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi DSG dwi-klac tujuh-kelajuan.

Dengan gabungan tersebut, Dune ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 8.8 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 200 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya dianggarkan sekitar 5.5 liter bagi setiap 100 km.

vw-beetle-dune-launch-16

Perbezaan antara Dune dengan model Beetle biasa ialah penampilan Dune yang lebih agresif jelas kelihatan pada bampar hadapan (seperti yang dilihat pada model facelift bagi Beetle R-Line), kekemasan ambang sisi, spoiler belakang dengan dua-tona, lampu belakang LED, lapisan plastik di sekeliling dan skid plate hadapan dan belakang berwarna perak. Ia juga ditampilkan dengan rim aloi dua-tona “Canyon” 18-inci, pelekat pada bahagian sisi dengan perkataan Dune serta jarak kelegaan tanah bagi Dune juga telah dipertingkatkan sebanyak 10 mm.

Imej ranggi turut menjalari bahagian dalamnya, ini termasuklah dengan logo Dune tertera pada roda stereng, serta jahitan kuning pada roda stereng, tuil gear dan tuit brek tangan. Malah ia juga didatangkan dengan kulit upholstery “Vienna”, bersama lampu utama xenon dengan lampu nyalaan siang LED, kawalan suhu automatik dua-zone Climatronic, roda stereng pelbagai-fungsi dan sistem infotainmen Composition Media dengan skrin sentuh 6.5-inci.

Hadir dalam warna Sandstorm Yellow yang menyerlah dan diimport sepenuhnya dari Mexico, Beetle Dune dijual pada harga RM179,990 (tanpa pendaftaran dan insurans) dan hanya ditawarkan sebanyak 50 unit sahaja. Ia turut hadir dengan waranti pengilang selama lima tahun.

Jika anda ingin mengetahui perincian lebih lanjut mengenai Beetle Dune 1.4 TSI ini, sila layari Carbase.my.