jaguar-xkss-03_bm

Jentera Jaguar D-Type telah memenangi perlumbaan Le Mans pada tahun 1955, 1956 dan 1957. Sebagai untuk meraikan kejayaan tersebut, Sir Williams Lyons mengambil keputusan pada Januari 1957 untuk mengubah 25 unit D-Type terakhir dari kereta lumba sebenar kepada jentera kegunaan jalan raya biasa digelar XKSS.

Malangnya, hanya 16 unit berjaya dilengkapkan, manakala sembilan unit lagi yang rancang untuk dieksport ke Amerika Utara telah hilang dalam kebakaran kilang Browns Lane pada bulan Februari tahun berkenaan.

Awal tahun ini, Jaguar Classic telah mengumumkan akan membina kembali sembilan unit jentera yang hilang hampir enam dekad lalu berkenaan di Experimental Shop, Warwick – dibina dengan tangan dan spesifikasi asli tahun 1957. Jentera pertama telah pun siap serta baharu sahaja didedahkan di Los Angeles Auto Show, dan ia akan dijadikan sebagai blueprint untuk sembilan unit model produksi yang bakal dilengkapkan tahun hadapan.

Jentera-jentera berkenaan bakal dibina lengkap dengan nombor casis mengikut turutan log casis asal XKSS, dan akan dijual dengan harga melebihi £1 juta setiap satu. Model yang membuat kemunculan di LA ini dihasilkan oleh Jaguar Classic dengan kesinambungan yang tepat menggunakan gabungan lukisan kejuruteraan asal dan juga teknologi moden. Jaguar membuat imbasan terhadap berberapa versi XKSS 1957 untuk membantu dalam penghasilan imej digital lengkap kereta berkenaan, dari badan hingga ke casis, termasuk semua komponen yang diperlukan.

Seperti pada jentera pada tahun 1957, badan XKSS ini di bina dari magnesium alloy. Badan baharu yang dibina berdasarkan badan asal pada era 50’an dihasilkan menerusi kaedah tradisional yang digelar hand-whelling – dan kaedah ini akan digunakan untuk produksi sembilan unit jentera yang bakal dibina.

Walau bagaimanapun, Reynolds – pembuat kerangka yang popular dengan penghasilan tiub 531 – menerangkan, komponen-komponen baharu akan dihasilkan dengan unit imperial dan bukan unit metrik. Kerangka kereta ini akan dikimpal menggunakan gangsa sama seperti tiub casis XKSS. Jentera-jentera ini juga akan menampilkan brek cakera Dunlop untuk kesemua roda dengan pam Plessey, tayar-tayar Dunlop serta rim magnesium aloi two-piece yang dihubungkan dengan rivet.

XKSS ini dijana oleh enjin enam silinder sebaris 3.4 liter yang sama pada Jaguar D-Type. Enjin yang dibina dengan blok dan kepala silinder besi tempa berkenaan disuap dengan tiga unit karburator perlumbaan side-draf Weber DC03, menghasilkan kuasa 262 hp.

Pada bahagian dalaman, kesemua komponen termasuk kayu pada roda stereng hingga ke corak pada tempat duduk kulit, dan juga suis-suis tembaga pada pemuka adalah sama seperti model pada tahun 1957, tetapi dengan sedikit perubahan spesifikasi dibuat untuk meningkatkan keselamatan pemandu dan penumpang.

Ini bukan projek pertama seumpanya yang dibuat oleh Jaguar Classic. Pada tahun 2014, enam buah E-Type Lightweight yang tidak dibina pada tahun 1963 (hanya 12 unit yang siap pada tahun tersebut, berbanding 18 unit yang dirancang untuk diproduksi) berjaya disiapkan. Jaguar menyatakan, kepakaran yang dicapai menerusi projek E-Type Lightweight berkenaan akan digunakan untuk pembinaan XKSS ini.