Motosikal binaan khas dari jentera-jentera dua roda retro memang mempunyai pengikut dan peminat sendiri. Apa lagi jika ia mempamerkan idea-idea kreatif yang radikal; misalnya ketika cuba membayangkan model BMW K100 LT 1986 – LT bermaksud Luxury Touring – dan “melucutkan” sepenuhnya hal-hal yang “mewah” dan “touring” yang ada pada model asalnya.

Titan Motorcycles dari Jerman mempunyai jawapan untuk itu. Bermula dengan cuba meyakinkan seorang pelanggan yang datang ke kedai dengan sebuah Harley-Davidson yang bateri telah “mati”, beliau kemudiannya mencuba jentera BMW R100. Namun, bukan motosikal itu yang memikat hati, sebaliknya sebuah K100 LT.

BMW K100 Xaver ini kemudiannya menjadi sebuah projek baharu bagi Titan Motorcycles. Ia kemudiannya dibina khas untuk menjadi sebuah jentera kustom yang ada gaya tersendiri. Antaranya penggunaan sistem ekzos Rasmus pada enjin 987 cc “Flying Brick” empat silindernya.

Tangkin khas buatan tangan, bahagian tempat duduk dan kemasan bahagian lampu utama di sediakan oleh Blechmann Aluminium. Meter analog digantikan dengan panel meter digital dari Motoscope. Kelengkapan elektronik yang minimum digunakan pada jentera ini, dengan hanya CAN-Bus untuk nyalaan lampu LED, serta Tomaselli Endurobar dengan pendawaian dalaman.

Melengkapi binaan khas ini, tempat duduk kulit dengan jahitan ala diamond cross-hatch dari Titan menyerlahkannya lagi dengan imej scrambler. Brek Brembo serta tayar Continental TKC80 gaya enduro memenuhi penampilan unik ala scrambler jentera BMW K100 Xaver ini.