subaru-pick-up

Subaru baru-baru ini memberi isyarat kepada hasrat mereka untuk menghasilkan sebuah kenderaan SUV tujuh tempat duduk melalui model konsep yang baru sahaja diperkenalkan kepada umum, Subaru Viziv-7. Ini merupakan peralihan yang besar buat jenama itu, lain daripada penghasilan kereta sedan dan wagon sebelum ini.

Bagaimana jika Subaru menghasilkan trak pikap pula selepas ini, bagaimana rupanya? Theophilus Chin membayangkannya melalui sebuah imej render, berdasarkan model konsep terbaharu berkenaan. Rekaan bahagian depan yang besar dan menonjol, serta saiz roda yang besarnya kelihatan sangat kemas juga di sebagai sebuah trak pikap.

Ia nampak lebih besar dan gagah, sebuah imej yang jarang-jarang ada pada reka bentuk kenderaan Subaru sebelum ini. Hasilnya, ia sedikit-sebanyak ada mirip trak pikap keluaran Nissan yang terkini, iaitu Navara NP300.

Jika model pikap ini benar-benar menjadi kenyataan kelak, ia dijangka bakal menggunakan Global Platform unibody yang sama digunakan pada Impreza. Versi produksi Viziv-7 juga dijangka akan menggunakan platform yang sama. Ini akan membezakannya daripada kebanyakan trak pikap yang lain, yang cenderung dibangun menggunakan binaan ladder frame.

Penggunaan enjin boxer sedia ada juga mungkin akan dikekalkan; enjin 2.0 liter turbodiesel yang digunakan pada model Legacy dengan janaan 147 hp dan 350 Nm. Ciri unik khusus Subaru, Symmetrical All-Wheel Drive juga mungkin kekal digunakan.