Grill Ertiga BM

Bagi memulihkan kembali keadaan kewangan syarikat, selain pengenalan model baru, Proton juga sedang meneliti beberapa buah syarikat untuk dijadikan sebagai rakan kongsi strategik. Bermula dengan lebih 14 buah syarikat, kini tiga yang utama telah dipilih, dan walaupun tidak diberitahu namanya, ia boleh menjadi Suzuki, PSA Group dan Renault.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Bernama 17 November lalu, perjanjian dengan tiga syarikat itu dilapor akan dapat dimeterai pada 31 Mac 2017, tetapi terbaru, pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar memberitahu ia mungkin boleh lanjut sehingga bulan Jun 2017.

Perkara ini diumumkan semasa dalam satu sidang akhbar yang berlangsung selepas pelancaran MPV kompak terbaru Proton iaitu Ertiga hari ini. Tambah Faisal, perlanjutan proses ini berlaku selepas melihat realiti sebenar dan terdapat jangka masa yang tidak dapat dikawal. Rakan kongsi itu juga mempunyai kepentingan lain dalam masa sama.

“Jika boleh kami ingin menyelesaikan perkara ini dalam suku pertama tahun 2017, tetapi untuk lebih pasti, kami menetapkannya pada separuh tahun pertama 2017,” kata Faisal.

Beliau walaubagaimanapun masih belum mahu mendedahkan berapa pecahan perkongsian atau perincian berkenaan perjanjian dengan tiga syarikat tersebut. Dengan adanya kerjasama tiga rakan kongsi ini, Proton diharap dapat menjadi sebuah syarikat yang lebih berdaya saing dan maju, termasuk dalam pasaran antarabangsa.