volvo-gran-artic300-bm
volvo-gran-artic-300-bm

Dalam satu pameran di Rio de Janeiro, Brazil, Volvo telah menunjukkan casis bas paling besar di dunia – dibangunkan sendiri oleh syarikat yang terkenal dengan pengeluaran jentera pengangkutan awam dan berat itu. Dinamakan sebagai Gran Artic 300, casis ini mempunyai beberapa sambungan bersendi (biarticulated), mempunyai panjang 30 meter dan boleh memuatkan 300 orang dalam satu masa.

Ia dibangunkan khas bagi kegunaan sistem bas BRT di Brazil – satu sistem pengangkutan yang mempunyai permintaan tinggi di mana setiap bas bergerak dalam laluan khas. Adanya Gran Artic 300 ini, ia dapat membawa lebih banyak penumpang dan setiap satu dapat menggantikan tiga bas yang ada sekarang.

Selain itu, bas berkapasiti tinggi seperti Gran Artic 300 juga dapat mengurangkan trafik di dalam laluan bas berkenaan, seterusnya memberikan kelajuan purata lebih tinggi dan kurang pembebasan karbon (lebih mesra alam).

Selain Gran Artic 300, Volvo juga mempunyai beberapa model casis bas lain untuk sistem pengangkutan urban berkapasiti tinggi seperti Artic 150 berukuran 18.6 m dan boleh membawa 150 orang, Artic 180 21 m/ 180 orang, Super Artic 210 22 m/ 210 orang dan seterusnya Gran Artic.