Jaguar F-Pace dilancarkan di Malaysia – 3.0L supercaj V6, varian Prestige, R Sport, harga dari RM599k

jaguar-f-pace_bm

Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd telah melancarkan SUV berprestasi tinggi Jaguar F-Pace yang serba baharu di Malaysia yang menjanjikan prestasi yang mengagumkan serta dinamik yang tiada tandingannya untuk kebolehgunaan harian. Malah ia juga digambarkan sebagai ‘kereta sport paling praktikal di dunia’.

Ia menawarkan dua varian iaitu Prestige dan R Sport yang kedua-duanya dilengkapi enjin petrol 3.0 liter V6 supercaj dari F-TYPE di bawah bonet aluminium yang terbentuk rapi dengan output 340 PS pada 6,500 rpm dan tork 450 Nm pada 4,500 rpm.

Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan transmisi automatik elektronik lapan-kelajuan dengan Jaguar Sequential Shift™. Ini membolehkan F-Pace yang serba baharu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik iaitu 250 km/j.

Dihasilkan menggunakan Lightweight Aluminium Architecture oleh Jaguar, F-Pace memenuhi komitmen yang menjanjikan kenderaan konsep perintis C-X17 dan menggandingkan ketulenan garisan, permukaan dan keseimbangan dengan ciri yang diilhamkan oleh F-TYPE seperti rasuk belakang yang berkuasa, sirip pengadang dan grafik lampu belakang yang tersendiri.

Gril hadapan yang menyerlah dan bonet yang tegap membayangkan potensi prestasi kenderaan ini. Elemen seperti lampu hadapan LED sepenuhnya yang tirus dan unjuran yang pendek di bahagian hadapan membawa visi reka bentuk konsep C-X17 sehingga sampai ke tahap pengeluarannya.

Bagi mereka yang ingin menyerlah, terdapat pilihan Black Pack R Sport yang eksklusif dengan gril radiator dan kelilingnya yang hitam berkilat, salutan warna badan pada pintu dengan kemasan hitam berkilat dan sirip kuasa hitam berkilat dengan lencana R Sport.

Lightweight Aluminium Architecture menyediakan permulaan yang ideal bagi pasukan pereka dan jurutera Jaguar yang kini diiktiraf secara global sebagai pemimpin dalam teknologi dan reka bentuk aluminium. Pada permulaannya ia direka sebagai struktur modular, supaya tayar boleh dimuatkan betul-betul di tempat yang sepatutnya untuk memberikan keseimbangan, dinamik dan kebolehgunaan yang begitu penting bagi sebuah crossover berprestasi tinggi.

Pada ukuran 4,731 mm panjang dan dengan jarak roda 2,874 mm, F-Pace serba baharu ini menawarkan profil yang rapi dan unjuran depan yang pendek iaitu ciri reka bentuk Jaguar beserta bahagian dalaman yang begitu luas.

jaguar_f-pace_ext-13

Struktur badannya yang ringan dan teguh adalah 80% aluminium dan merupakan satu-satunya kerangka intensif aluminium dalam segmennya. Penjimatan berat tambahan adalah dari komposit yang digunakan untuk bahagian belakang dan magnesium untuk bahagian seperti rasuk silang kereta.

Keteguhan kilasan badan yang tinggi membolehkan sistem gantungan hadapan double wishbone yang diambil dari F-TYPE dan sistem gantungan belakang Integral Link yang canggih berfungsi dengan lebih baik. Digandingkan dengan Torque Vectoring sebagai standard dan penalaan sistem Electric Power Assisted Steering untuk memberikan rasa dan tindak balas yang terbaik, F-PACE yang serba baharu menjadi penanda aras bagi pemanduan dan pengendalian.

Peredam monotube yang dijadikan standard juga memberi kelebihan kepada model permulaan Prestige, tetapi untuk pemanduan dan pengendalian yang lebih baik, sistem Adaptive Dynamics (standard dalam R Sport) yang dikawal secara elektronik mengukur pergerakan badan dan tayar, masing-masing sebanyak 100 dan 500 kali sesaat, untuk memastikan kuasa redaman yang optimum dalam apa jua keadaan.

Bagi pemandu yang agresif, disediakan Configurable Dynamics yang merupakan standard bagi R Sport. Pertama kali digunakan untuk F-TYPE, ciri ini membolehkan pelarasan berasingan untuk pendikit, transmisi automatik, stereng, dan juga sistem Adaptive Dynamics sekiranya ada.

jaguar_f-pace_ext-6

Torque on-demand all-wheel drive (AWD) F-Pace merupakan system yang tercanggih bagi Jaguar setakat ini, dan mempunyai kapasiti tork tertinggi. Ia menonjolkan sistem kawalan in-house termaju yang pertama kali dihasilkan untuk F-TYPE AWD: Intelligent Driveline Dynamics (IDD). Ia memelihara ketangkasan pacuan roda belakang dan ciri pengendalian tetapi dapat mengalihkan tork ke tayar hadapan dengan lancar untuk menggunakan kelebihan prestasi cengkaman yang lebih pada semua permukaan dan jenis cuaca.

Adaptive Surface Response (ASR) pada R Sport, yang dihasilkan daripada teknologi Terrain Response dari jenama Land Rover yang telah dipatenkan dan telah memenangi anugerah, menjadikan sistem AWD lebih berkesan dalam keadaan yang mencabar. ASR yang disepadukan ke dalam JaguarDrive Control mengenal pasti jenis permukaan dan mengoptimakan pemetaan powertrain dan sistem Dynamic Stability Control.

Pertama kali dilancarkan dalam XF yang serba baharu, ASR telah dipertingkatkan oleh mod ketiga yang dihasilkan untuk salji yang tebal dan kerikil. Teknologi tambahan yang disediakan untuk memastikan prestasi bagi semua jenis permukaan termasuklah sistem Jaguar yang sedia ada iaitu All Surface Progress Control dan Low Friction Launch yang merupakan ciri standard.

F-Pace yang serba baharu ini boleh menempatkan lima orang dewasa dengan begitu selesa dengan ruang kepala dan lutut yang luas serta ruang bagasi yang lapang dengan isi padu 508 liter walaupun setelah dimuatkan dengan tayar ganti sementara.

jaguar_f-pace_int-1

Ia turut didatangkan dengan teknologi infotainmen dan sambungan adalah yang termaju dalam industri. Ini termasuklah sistem info-hiburan Jaguar InControl Touch sebagai standard dalam Prestige. Dengan skrin sentuh berkapasiti lapan-inci, interface pengguna yang intuitif dan grafik yang jelas, ia dapat menyokong isyarat telefon pintar dan tablet seperti “swipe” untuk beralih dari satu laman ke laman yang lain.

Sistem premium InControl Touch Pro, yang tersedia dalam varian R Sport, adalah berasaskan skrin sentuh 10.2-inci, dengan pemproses quad-core yang berkuasa dan pemacu solid-state, serta menggunakan Ethernet yang ultra pantas. Hasilnya ialah interface pengguna yang ‘instinctive’ dan amat pantas dengan grafik yang sangat responsif dan jelas.

Navigasi juga dapat dipaparkan pada skrin penuh iaitu dalam bentuk 3D dan pada kelompok peralatan maya HD 12.3-inci yang didatangkan dalam Pakej InCrontrol Touch Pro yang standard dalam R Sport.

Ia juga membawakan penampilan Activity Key Jaguar buat kali pertama di dunia. Jalur pergelangan tangan yang kalis air dan hentakan dengan transponder bersepadu yang juga pertama dalam segmennya adalah teknologi guna-pakai untuk gaya hidup aktif kerana ia membolehkan kunci fob disimpan dengan selamat di dalam kenderaan. Dengan mengunci kenderaan menggunakan Activity Key, kunci fob yang ditinggalkan di dalam kenderaan akan dilumpuhkan. Activity Key boleh didapati sebagai aksesori pilihan.

F-Pace 3.0 liter Supercharged Prestige yang diimport sepenuhnya dijual pada harga RM598,800 sementara R Sport iaitu model spesifikasi yang lebih tinggi berharga RM658,800. Harga yang ditawarkan adalah termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

Setiap pembeliannya turut didatangkan dengan Jaguar Care, yang merangkumi waranti selama lima-tahun dan lima-tahun servis percuma serta Jaguar Roadside Assistance untuk tiga-tahun.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi penuh Jaguar F-Pace ini, sila layari laman web Carbase.my.

GALERI: Jaguar F-Pace R Sport

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required