2017 Honda CR-V

2017 Honda CR-V

Diperingkat global, Honda CR-V 2017 merupakan satu daripada model penting yang diperkenalkan tahun ini. Ia pertama kali dipertontonkan untuk pasaran Amerika Syarikat; dengan penampilan yang lebih menonjol, matang sekali gus lebih premium.

Dari luaran sahaja, sekali pandang, SUV generasi kelima keluaran Honda ini seperti menjanjikan banyak perkara dan penambah baikan berbanding model sebelumnya. Antara yang terawal yang akan menarik perhatian anda ialah saiznya yang nampak besar, dengan sentuhan rekaan luaran yang semakin mantap.

Ia kini ditampilkan dengan gril krom yang lebih besar pada bahagian hadapan (dengan Automatic Shutter Grille System pertama dari Honda), yang bersambung pada lampu utama LED sepenuhnya, serta mengetengahkan pendekatan gaya Solid Wing Face yang sama dimiliki oleh model-model terbaharu Honda, seperti Civic.

Aspek enjinnya juga memberi pilihan penawaran yang menarik. Pertama, ia dilengkapi enjin 1.5 liter turbo, yang ditawarkan buat pertama kalinya pada CR-V; enjin yang sama digunakan pada model Civic FC. Dengan ciri suntikan terus DOHC ia menghasilkan kuasa sehingga 190 hp pada 5,600 rpm dan tork 243 NM antara 2,000 hingga 5,000 rpm. CR-V turbo ini turut menampilkan ciri seperti sistem Remote Engine Start yang juga ada pada Civic.

Kedua, turut ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat ialah enjin 2.4 liter i-VTEC suntikan terus, dengan kuasa 184 hp pada 6,400 rpm dan tork 244 Nm pada 3,900 rpm. Ia ditawarkan sebagai model dengan varian paling asas. Bagi transmisi, kedua-duanya dipadankan dengan transmisi CVT dengan Honda G-Shift Control Logic.

Dari segi rekaan, unjuran bahagian D-pillar yang sinonim dengan model CR-V sebelum ini masih dikekalkan. Namun, banyak pendekatan rekaan yang menjadikannya kelihatan lebih agresif; palang krom ditambah di belakang, disertakan dengan corong ekzos berkembar. Selain itu, buat pertama kalinya juga, ia menampilkan ciri Hands-Free Access Power Tailgate.

Honda CR-V dengan spesifikasi pasaran Amerika Syarikat ini juga mempunyai pertambahan dimensi; 4,587 mm panjang (+30 mm) dan 1,854 mm lebar (+35 mm). Bagi varian pacuan depan, ia hadir dengan ketinggian 1,679 mm, manakala versi pacuan AWD pula ialah 1,689 mm tinggi – kedua-duanya melibatkan pertambahan 36 mm. Jarak antara roda juga bertambah 40 mm, kepada 2,659 mm kini.

Pertambahan dimensi ini menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas. Ruang untuk penumpang kini ialah 2,999 liter, naik 51 liter berbanding sebelumnya. Ruang kaki pula menerima penambahan 53 mm, manakala ruang kepala menerima tambahan 15 mm. Ruang barangan yang direkodkan ialah 2,146 liter dengan tempat duduk diturunkan (+139 liter).

Ruang dalamannya juga diberikan ciri yang lebih premium; panel instrumen dengan skrin berwarna, sistem audio dengan paparan skrin sentuh 7.0-inci berasaskan Android, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga dilengkapi penghawa dingin dwi-zon, pencahayaan ambien LED, brek parkir elektronik dan port bagi USB di belakang sebagai beberapa ciri tambahan.

Untuk pasaran US, ia turut menerima ciri keselamatan termaju Honda Sensing dan bantuan pemanduan. Ciri ini merangkumi fungsi-fungsi seperti berikut; Collision Mitigation Braking System, Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation, Lane Departure Warning (LDW) dan Adaptive Cruise Control (ACC).

Bagi penggunaan minyak pula, enjin 2.4 liter mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api (gabungan penggunaan lebuhraya/bandar) 10.1 l/100 km (sistem pacuan depan) dan 10.5 l/100 km (AWD). Sementara itu, versi 1.5 liter turbo pula memberikan 9.4 l/100 km (pacuan depan) dan 9.7 l/100 km (AWD).