johammer_action_freilandstr_3_bm

Dua pereka motosikal dari Austria, Leonie Lawniczak dan Jean-Marie Lawniczak mempunyai imaginasi yang sangat berlainan ketika membayangkan sebuah motosikal. Apatah lagi sebuah motosikal elektrik; tak hanya reka bentuk luarannya sahaja yang perlukan penampilan futuristik, malahan ciri serta inovasinya juga perlu canggih.

Maka terhasillah siri jentera dua roda yang digelar sebagai Johammer J1; motosikal elektrik sepenuhnya yang pertama mampu mencapai jarak perjalanan 200 km. Dua varian diperkenalkan, iaitu Johammer J1.150 dan J1.200. Motor elektrik dan semua fungsi kawalannya adalah bersepadu, dan ditempatkan pada bahagian roda belakang – tanpa perlu diselenggara.

Sedikit tentang dimensi jentera elektrik dua roda ini; ia 2,200 mm panjang dan 1,200 mm tinggi. Jarak antar rodanya ialah 1,455 mm, manakala ketinggian tempat duduknya pula 650 mm. Pusat tarikan graviti jentera ini adalah 350 mm.

Dari segi janaan kuasa, motosikal ini secara purata menghasilkan sejumlah 11kW tenaga, manakala output maksimumnya pula ialah 16kW. Baterinya menggunakan jenis lithium-ion yang dibangunkan khas oleh Johammer sendiri.

Dua varian berkenaan masing-masing mampu mencapai jarak perjalanan 150 km dan 200 km. Kelajuan maksimumnya dihadkan secara elektronik kepada 120 km/j. Bagi varian J1.150, ia dilengkapi dengan pek bateri 8.3kWh – ia memerlukan masa selama dua jam dua puluh minit untuk dicas semula. Beratnya ialah 159 kg.

Bagi varian J1.200 pula, ia dilengkapi dengan pek bateri dengan kapasiti 12.7 kWh. Tempoh mengecas pula ialah 3.5 jam, dengan pengecas 80 minit sebagai pilihan. Jentera ini adalah seberat 178 kg. Badan motosikal ini diperbuat daripada aluminium sepenuhnya.

Model berkenaan kini mula dijual di pasaran Eropah dengan tanda harga seperti berikut; Johammer J1.150 bermula dari 22,900 Euro (RM108,758), sementara J1.200 pula pada harga 24,900 Euro (RM118,256).