Sebelum ini sekadar khabar angin, akhirnya ketua pegawai eksekutif KTM, Stefan Peirer mengesahkan bahawa syarikatnya akan memasarkan motosikal KTM RC16, iaitu motosikal model sama yang digunakan dalam perlumbaan MotoGP kepada pasaran awam. Perkara ini diberitahu kepada laman web Jerman, Speedweek, dan tambah beliau, ia hanya akan terhad kepada 100 unit sahaja.

Dikuasakan oleh enjin 1,000 cc V4 90 darjah, model versi jualan awam ini akan direndahkan kuasanya menjadi 240 PS, iaitu 30 PS kurang berbanding jentera sebenar yang digunakan dalam MotoGP yang berkuasa 270 PS.

Menurut Peirer lagi, selain jumlah kuasa yang sedikit kurang ini, KTM akan memastikan model untuk jualan awam ini mempunyai spesifikasi paling hampir dengan jentera MotoGP dan mereka sebolehnya cuba untuk menawarkannya pada harga yang lebih rendah berbanding apa yang dilakukan oleh Honda dengan model RC213V-S pada harga 185,000 Euro (RM869,214). Harga anggaran untuk KTM RC16 jualan awam adalah sekitar 100,000 hingga 120,000 Euro (RM470,000 – RM563,000).

Walaupun dibuka untuk jualan awam, KTM RC16 tidak akan mendapat sebarang kelulusan untuk kegunaan jalan biasa dan hanya boleh ditunggang di dalam kawasan tertutup seperti litar.